Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing Thye

Admin

IR. Ang Aing Thye.
IR. Ang Aing Thye.

 

TIDAK ramai yang mengetahui bahawa di sebalik kejayaan dan penambahbaikan yang dimainkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) kini adalah hasil titik peluh seorang individu yang telah menabur khidmat selama 33 tahun di dalam sektor perkhidmatan awam.

Berasaskan maklum balas masyarakat umum berhubung tahap kebersihan, misi dan tempoh masa bertindak yang lebih pantas berbanding sebelum ini telah menarik Buletin Mutiara (BM) untuk menemuramah wira di sebalik tabir ini.

BM: Pihak awam kadang-kadang salah faham tentang tugas dan tanggungjawab yang dipikul MPPP. Pada amnya, peranan MPPP begitu luas dan amat penting kepada negeri Pulau Pinang. Malangnya, pihak awam lazimnya hanya ‘nampak’ MPPP apabila terdapat kejadian longkang tersumbat, tandas kotor, jalan berlubang dan lain-lain lagi. Boleh Ir. Ang beri sedikit penjelasan tentang peranan, tugas dan tanggungjawab MPPP di Pulau Pinang.

AING THYE : MPPP merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di bahagian pulau Pulau Pinang. MPPP bertanggungjawab terhadap kawalan pembangunan seluruh pulau kecuali tanah yang telah ditebus guna yang mana pihak berkuasa kawalan pembangunan adalah JPBD. Kita (MPPP) mengutip cukai pintu dan membekalkan perkhidmatan seperti pemungutan sisa buangan pepejal, membersihkan jalan raya dan longkang. Pada masa sama, MPPP juga bertanggungjawab terhadap keadaan trafik di seluruh pulau kecuali di jalan-jalan persekutuan. Menyentuh mengenai penyelenggaraan jalan raya, MPPP bertanggungjawab menyelenggara jalan-jalan di sekitar kawasan bandar dan Zon Perindustrian Bayan Lepas manakala JKR bertanggungjawab dalam penyelenggaraan jalan di luar kawasan bandar.

Sudah tentu, saya mengakui bahawa sebagai PBT, MPPP bertanggungjawab dalam banyak aspek kerja-kerja perbandaran. Kepada sesiapa yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh MPPP, sila layari www.mppp.gov.my. Bagaimanapun, saya ingin tekankan di sini bahawa MPPP mempraktikkan polisi ’No Wrong Door’ dan kita (MPPP) mempunyai talian 24 jam, 04 – 263 7637 / 04 – 263 7000 bagi membolehkan masyarakat umum membuat sebarang aduan berkaitan. Bagi aduan yang berada di luar bidang kuasa MPPP, ia akan dilanjutkan ke jabatan berkenaan untuk tindakan.

BM : MPPP pernah menjadi bahan berita berunsur politik dan dituduh merobohkan gerai-gerai di atas arahan pihak atas. Bagaimana MPPP boleh menyakinkan semua pihak bahawa MPPP hanya bertindak berdasarkan undang-undang dan demi keselamatan serta keselesaan warga Pulau Pinang.

AING THYE :Isu peniaga haram merupakan isu lama yang tiada kesudahan. Kini, terdapat kira-kira 3,000 peniaga tanpa lesen di bahagian pulau Pulau Pinang. Kebanyakan peniaga-peniaga berkenaan tidak memiliki kemudahan mencuci yang sesuai. Malah, aktiviti-aktiviti ini telah menyebabkan kesesakan lalulintas dan ketidakselesaan kepada pengguna jalan raya yang lain. Sebelum tindakan penguatkuasaan seperti perobohan atau rampasan dijalankan, MPPP akan mengeluarkan notis di bawah Undang-undang Kecil Penjaja 1979 atau Akta Jalan, Saliran dan Bangunan 1974 (sekiranya melibatkan struktur haram) kepada peniaga bagi membolehkan pihak berkenaan memindah atau meruntuhkan struktur sedia ada secara sendiri. Umumnya, banyak langkah proaktif yang diambil oleh MPPP seperti memindahkan peniaga-peniaga tanpa lesen ini ke pusat atau kompleks makanan ataupun membekalkan lesen penjaja statik sementara (PSS). Malah, MPPP turut meminta YB-YB kawasan untuk mengadakan perbincangan dengan peniaga-peniaga berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian secara baik. Perobohan atau rampasan hanya dilaksanakan sekiranya kesemua faktor dan inisiatif di atas gagal dipatuhi.

BM : Boleh IR Ang beri sedikit maklumat tentang projek-projek yang akan membuat Pulau Pinang lebih dinamik di masa akan datang. Misalnya, Penang International Convention Centre’’ (SPICE).

AING THYE : SPICE merupakan antara projek mega yang akan dilaksanakan oleh MPPP melalui konsep B.O.T.. Pada masa sama, kita (MPPP) juga terlibat dalam projek pengurangan kesesakan lalulintas di Jalan Masjid Negeri dan Jalan Scotland yang mana MPPP bercadang meningkatkan keadaan trafik dengan menambahbaikan infrastruktur sedia ada dengan kos RM57 juta (RM27 juta untuk fasa pertama dan RM30 juta, fasa kedua). Langkah-langkah juga telah diambil bagi pengorganisasian semula peniaga tanpa lesen di pesisir pantai Batu Feringghi. Kita dalam proses mengorganisasi, melesenkan dan mengehadkan sebahagian aktiviti pantai bagi menjadikan Batu Feringhi sebuah destinasi yang selamat untuk para pelancong. Antara projek-projek lain yang kini dalam proses adalah pelebaran liputan lokasi-lokasi CCTV bagi menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri selamat sebagaimana yang dirancang sebelum ini.

BM : Apakah antara masalah-masalah yang sering dihadapi oleh MPPP terutamanya ketika berdepan dengan masalah-maslah rakyat. Misalnya – kesesakan jalanraya, penduduk-penduduk yang tidak bertanggungjawab menjaga kebersihan dan lain-lain.

AING THYE : Saya berasa dalam menghadapi isu seperti kesesakan lalulintas dan kebersihan bukan terletak sepenuhnya pada MPPP. Sebaliknya, kita (MPPP) memerlukan kerjasama daripada rakyat. Banyak inisiatif dan usaha telah diambil oleh MPPP bagi menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bersih dan hijau. Bagaimanapun, tiada guna sekiranya kita (MPPP) menjalankan kerja-kerja membersih dan masyarakat umum terus menanam sikap membuang sampah merata-rata. Justeru, MPPP memerlukan kerjasama daripada semua bagi menjadikan bandar kita sebuah bandar yang sesuai didiami. Situasi sama apabila menyentuh mengenai isu kesesakan lalulintas yang lazimnya berpunca daripada sikap para pemandu, tindakan meletak kenderaan di bahu jalan atau tidak menghiraukan papan-papan tanda larangan parkir di sesuatu lokasi. Dalam menghadapi isu ini, MPPP dan PDRM telah menjalankan kempen pendidikan dan langkah seterusnya adalah penguatkuasaan yang tegas. MPPP akan mengapit (clamping) dan menunda kenderaan di jalan-jalan tertentu bermula pertengahan Mei 2011. Yang pasti, tindakan penguatkuasaan hanya akan dilaksanakan setelah pemandu tidak menghiraukan amaran yang diberikan oleh pihak MPPP pada tempoh masa ditetapkan.

BM : Mengenai kempen Pulau Pinang Hijau dan Bersih, adakah matlamat ini telah tercapai. Apakah sumbangan MPPP di dalam kempen ini.

AING THYE : Kempen Pulau Pinang Bersih dan Hijau bermula pada Mei 2010. Sehingga kini, saya telah menerima banyak maklum balas positif bahawa tahap kebersihan di sini adalah jauh lebih bersih. Sudah tentu, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki dan saya secara peribadi berpendapat bahawa banyak program hijau perlu dilaksanakan lagi. Contohnya, penanaman pokok di sepanjang pembahagi jalan di Lebuh Carnarvon. Pada masa sama, MPPP kini dalam proses untuk melaksanakan inisiatif sama di Weld Quay dan Jalan Dato’ Keramat. Realitinya, Inisiatif Pulau Pinang Hijau dan Bersih tidak dapat dicapai hanya dengan peranan yang dimainkan oleh MPPP, ia perlu komitmen daripada seluruh rakyat Pulau Pinang termasuk sektor swasta. Marilah kita bersama berganding bahu ’menyinarkan’ Pulau Pinang untuk selama-lamanya.

BM : Y.A.B. Ketua Menteri sering berucap mengenai cita-cita Pulau Pinang untuk menjadi sebuah bandaraya antarabangsa (International City). Bagaimana dan apakah peranan MPPP ke arah mencapai visi ini.

AING THYE : Bagi menyokong visi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa, beberapa langkah telah dipraktikkan oleh MPPP bagi penjenamaan semula bahagian pulau Pulau Pinang. Sebagaimana maklum, George Town telah dinobatkan dengan status Pusat Warisan Dunia oleh UNESCO, justeru, kita perlu menyediakan modal berhubung status tersebut dalam mempromosikan Pulau Pinang sebagai lokasi pelancongan utama di mata dunia. Umumnya, kita mempunyai ’sister-cities’ seperti Adelaide di Australia, Xiamen, China dan Medan, Indonesia. Terbaru, kita juga telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan beberapa bandar antarabangsa seperti Taipei dan Kaoshiong di Taiwan sebagai bandar persahabatan. Faktor-faktor ini akan membantu menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang khususnya.

 IR. Ang Aing Thye menjelaskan peranan penting MPPP dalam membawa visi Kerajaan Negeri.
IR. Ang Aing Thye menjelaskan peranan penting MPPP dalam membawa visi Kerajaan Negeri.