Sewaan kenderaan beroda, MBPP bakal wujud SOP baru

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bakal mewujudkan Tatacara Pengendalian Piawaian (SOP) baharu terhadap pemberian lesen sewaan kenderaan beroda kepada para peniaga di sekitar kawasan George Town.

Perkara tersebut dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Penguatkuasaan dan Pendidikan Awam MBPP, Ahmad Azrizal Tahir ketika ditemui sejurus Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) di Dewan Bandaraya di sini baru-baru ini.

Jelas Azrizal, prosedur tersebut penting ekoran penggunaan basikal beroda empat yang semakin berleluasa kini dalam kalangan pengusaha sebenarnya memerlukan kebenaran khas dari Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).

“Kita (MBPP) akan mewujudkan satu SOP berhubung pemberian lesen kepada para pengusaha yang menyewakan kenderaan beroda kepada pengguna.

“Pengusaha perlu mengikut garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh JPJ.

“Jika ada sebarang pelanggaran undang-undang, MBPP tidak akan teragak-agak menarik balik lesen yang telah dikeluarkan,” jelasnya.

Hadir sama, Ahli Majlis MBPP, Saiful Azwan Abd. Malik.

Pada 26 Mac lalu, MBPP dengan kerjasama JPJ, Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengadakan Kempen Kesedaran Mengenai Kesalahan Trafik dan Lalulintas di Lebuh Pantai di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Azrizal memberitahu, penggunaan basikal (beroda empat) jenis berkaitan di atas jalan raya adalah memerlukan kebenaran khas JPJ.

“Basikal beroda tiga iaitu beca serta dua roda yang biasa digunakan itu sememangnya dibenarkan dari segi undang-undang, tetapi jika basikal empat roda, ia memerlukan kebenaran bertulis pihak JPJ.

“Malah, Majlis juga mengambil kira faktor keselamatan pengguna, kerana biasanya satu basikal (empat roda) ini dinaiki oleh empat hingga enam orang dengan menempatkan kanak-kanak di bahagian hadapan basikal.

“Sekiranya berlaku kemalangan, kemungkinan kecederaan parah berlaku adalah amatlah tinggi.

“Justeru, kita (MBPP) ingin berikan pendidikan dan kesedaran awam kepada pengusaha serta umum bahawa penggunaan basikal (empat roda) ini adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan  khas pihak berkuasa” ujar beliau.