Oleh : YAP LEE YING
Gambar : LAW SUUN TING
MENJEJAKKAN kaki di Shanxi dan Shaanxi, China betul-betul menguji pengetahuan penulis mengenai sejarah tamadun Cina.
Apa tidaknya, kedua-dua wilayah tersebut merupakan bandar/wilayah kuno penting ke arah pembentukan China kini.
Bagi penulis yang lebih menggemari tapak-tapak warisan sejarah, kedua-dua lokasi berkaitan merupakan destinasi yang begitu sesuai.
Sebelum itu, jangan sesekali terkeliru dengan ejaan bagi kedua-dua wilayah ini, Shanxi – dengan satu ‘a’ dan Shaanxi – dengan dua abjad ‘a’.
Taiyuan, Shanxi
Di Shanxi, pusat bandarnya, Taiyuan bagi penulis adalah seolah George Town, tidak begitu sesak, penuh dengan tapak-tapak bersejarah, hijau dan penduduknya adalah amat mesra.
Kemungkinan nama ia adalah asing di peta pelancongan dunia termasuk bagi penulis. Namun, apabila berpeluang meneroka wilayah berkaitan selama empat hari, penulis seakan ‘jatuh cinta’ akannya.
Terletak di bahagian utara negara China, Shanxi bermakna ‘gunung di sebelah barat’ dengan merujuk kepada Gunung Taihang dan Gunung Luliang. Selain dikelilingi dengan geografi pergunungan, Sungai Fen yang menjadi sumber air penting mengalir di tengah-tengah wilayah berkaitan. Umumnya ketika berada di sana, tiada langsung bayu laut yang dirasai. Sesuatu yang dirindui penulis, umumnya…
Di antara lokasi-lokasi yang dibawa melawat, lawatan ke kompleks Kuil Jin atau Jinci yang diasaskan kira-kira 1,400 tahun lalu dan diperkembangkan merentasi abad membawa kepada kira-kira 100 campuran koleksi kepelbagaian reka bentuk, bangunan, jambatan dan ukiran amat menarik perhatian penulis.
Seni ukiran serta lukisan pada bahagian dalam bumbung terutamanya di bahagian bangunan utama dikenali sebagai ‘The Hall of the Holy Mother’ yang dibina pada tahun 1023 hingga 1032 di zaman pemerintahan Dinasti Song memukau mata penulis!
Ditambah pula dengan lawatan ke kota lama, Pingyao yang tersenarai sebagai salah satu tapak UNESCO dunia adalah amat mengagumkan. Titisan hujan renyai-renyai menambahkan lagi nostalgia kota yang disenaraikan sebagai ‘best walled cities in the world’ itu!
Sebagai wilayah pengeluar arang batu utama bagi negara China, lawatan ke Muzium Arang Batu menawarkan pengalaman tidak kurang hebatnya terutamanya laluan cari gali arang batu yang dibina khas. Pada masa sama, Muzium Shanxi juga wajar diletakkan di dalam senarai lokasi lawatan.
Menurut jurupandu pelancong penulis di Shanxi, Jia Shao Peng, 24, bagi pelancong yang tidak boleh berbahasa Mandarin, terdapat pakej-pakej pelancongan khas disediakan termasuk khidmat juru pandu berbahasa Inggeris.
“Malah, bagi pelancong beragama Islam, makanan adalah tidak menjadi masalah kerana selain restoran sayur-sayuran (vegetarian) yang tumbuh bak cendawan di sini, terdapat juga komuniti Islam di sini yang membuka restoran-restoran khas bagi memenuhi permintaan berkaitan termasuk kawasan khas yang menempatkan pusat ekonomi golongan berkaitan,’’ jelasnya yang telah dua tahun berkecimpung di dalam industri tersebut.
Shao Peng yang amat petah berkata-kata dan berpengetahuan menyatakan bahawa Taiyuan kini sedang berkembang dengan pesat dengan wujudnya zon-zon perindustrian yang salah satunya menempatkan industri pembuatan roda serta keluli landasan keretapi utama bagi republik berkaitan.
Bagaimanapun, inisiatif hijau adalah amat dititikberatkan di Shanxi dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini terutamanya ekoran kesan penggalian arang batu yang dijalankan selama berkurun lamanya di sini.
Shaanxi, Xi’an
Dari Pingyao, kumpulan penulis menaiki kereta api berkelajuan tinggi untuk ke Shaanxi, Xi’an. Selain keadaan kereta api yang selesa, perjalanan kira-kira tiga jam setengah amat memukau dengan kawasan-kawasan pergunungan yang ditumbuhi tanaman jagung, gandum, peach dan lain-lain bijirin serta buah-buahan.
Lei Yang yang merupakan jurupandu pelancong penulis di Shaanxi memberitahu bahawa terdapat kira-kira 50,000 komuniti Muslim di sini dan pusat ekonominya adalah tertumpu di Muslim Street.
“Kami memang ada menerima pelancong Melayu dan Singapura termasuk Malaysia.
“Tiada masalah kerana di sini juga terdapat makanan halal selain juru bahasa berbahasa Inggeris.
“Kebanyakan yang mengadakan lawatan ke sini adalah mereka yang berminat dengan sejarah tamadun China. Untuk menjelaskan sejarah China yang dalam, ia adalah salah satu cabaran bagi juru pandu pelancong, banyak bahasa isyarat dan perumpaan bagi mengaitkan keadaan kini terpaksa digunakan,’’ ujarnya sambil tersenyum sipu.
Tarikan utama Shaanxi pastinya adalah Muzium Terracotta yang agung. Melihat riak muka setiap tentera yang berbeza dan teratur rapi di dalam makam Maharaja pertama China, Qin Shi Huang merupakan pengalaman yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.
Namun, disebabkan terlalu sesak dengan para pengunjung, tidak banyak masa yang dapat diluangkan bagi meneliti keagungan berkaitan dengan lebih lama.
Bandar Shaanxi paling memukau adalah pada waktu malam. Lei Yang menyatakan bahaawa bandar tersebut pada waktu malam adalah umpama ‘bidadari yang sedang menari’. Apa tidaknya, semua bangunan kuno seperti Xi’an City Wall, Bell and Drum Towers dan Giant Wild Goose Pagoda semuanya amat memukau dengan gemerlapan lampu pelbagai warna.
Selain produk pelancongan, Xi’an kini berkembang turut pesat membangun sebagai pusat ekonomi bagi menyaingi Beijing dan Shanghai kini.
Xi’an High Tech Industrial Development Zone yang mendaftarkan 700,000 industri dalam dan luar negara dengan catatan keuntungan 901.16 bilion RMB pada tahun 2017; Xi’an Trade and Logistic Park Planning dan China (Shaanxi) Pilot Free Trade Zone antara tapak-tapak industri yang dilawat penulis, pastinya ia bakal menyediakan Xi’an sebagai kuasa unggul China dalam tempoh terdekat.
Malah, dengan sejarah berusia 3,100 tahun meliputi 13 dinasti seperti Zhou, Qin, Han dan Tang, serta permulaan titik Laluan Sutera, pastinya Xi’an akan terus terpahat di peta dunia kelak.