Sheikh Hussain Yee Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

AIR ITAM – Pendakwah terkenal antarabangsa, Tuan Sheikh Hussain Yee, diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah 1439H/2017M sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas sendiri yang menyarungkan jubah khas serta menyampaikan trofi, sijil pengiktirafan dan cenderamata kepada beliau.

Turut menyaksikan penganugerahan berkaitan, antaranya Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Dato’ Anas Ahmad Zakie serta Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Tuan Sheikh Hussain Yee atau nama sebenarnya, Mohd. Hussain Abdullah, 62, merupakan pengasas Al-Khaadem, iaitu pusat pendidikan dakwah kemasyarakatan antarabangsa membabitkan saudara baru di Petaling Jaya, Selangor, sejak tahun 1984.

Beliau adalah anak jati Kedah, tetapi berhijrah ke Pulau Pinang sejak 1960-an, ketika masih beragama Buddha.

Selepas memeluk Islam pada tahun 1968 di negeri ini, Sheikh Hussain melanjutkan pengajian dalam bidang hadith di Universiti
Islam Madinah pada 1972 hingga 1978, serta berpeluang menjadi pelajar kepada ulamak besar hadis abad ke-20, Sheikh Muhammad Nasiruddin Al-Bani; dan kini menjadi selebriti dakwah dalam beberapa rangkaian televisyen di peringkat antarabangsa.

Selain petah berbahasa Melayu, bakat berpidato dalam bahasa Inggeris, Arab dan Cina telah membawa beliau menyampaikan
mesej Al-Quran serta dialog keamanan antara agama ke lebih 20 negara, antaranya Hong Kong, China, Fiji, Australia, New Zealand, Maldives, India, Pakistan, Denmark, Turki dan Belanda.

Sheikh Hussain yang ditemui kemudian memberitahu, gerakan dakwah di tanah air ini, termasuk di Pulau Pinang begitu digalakkan oleh Kerajaan dan mendapat sokongan banyak pihak.

“Kita mesti terus membawa mesej Al-Quran, Sunnah dan mesej keamanan kepada dunia dan mereka yang masih belum mengenali Islam, sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W, untuk menghakis (fahaman) Islamophobia.

“Kita mesti berusaha untuk menghakis perasan takut orang bukan Islam kepada Islam, dan satu lagi adalah melaksanakan kebajikan kepada manusia tidak kira Islam ataupun bukan Islam,” jelasnya ketika ditemui di sini.

Selain Sheikh Hussain, Muhammad Syazwan Menon, 29, dipilih menerima Anugerah Saudara Mithali; Pengasas Yayasan dan Madrasah An-Nahdhoh, Ustaz Abdul Mutalib Ma’arof, 43, (Anugerah Pendakwah Negeri); Rosadah Rameli, 64, (Anugerah Ibu Mithali); Penolong Profesor Jabatan Bioteknologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Wan Wardatul Amani Dr. Wan Salim (Anugerah Hijrah Inovasi) dan Abdul Hamid Ibrahim Naina (Anugerah Bapa Mithali).

Sebelum itu, Abdul Rahman ketika menyampaikan amanat memberitahu, penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W. dari Mekah ke Yathrib lalu menubuhkan negara moden Madinah Al-Munawwarah, sebenarnya mengajar erti pengorbanan yang begitu besar untuk dihayati umat.

Justeru, beliau sekali lagi menyeru seluruh umat Islam dan bukan Islam supaya saling berkorban kepentingan diri demi mengukuhkan lagi tali persaudaraan, semangat kekitaan serta keharmonian kaum dan beragama di negeri ini.

Dalam pada itu, mesej sama turut ditekankan Mohd. Rashid dan Abdul Malik dalam ucapan masing-masing.

Penganjuran acara tahunan sambutan Maal Hijrah pada kali ini sekaligus menjadi simbol Kerajaan Negeri senantiasa mengiktiraf
serta senantiasa berusaha memartabat Islam di Pulau Pinang.