Siap tempoh singkat, Taman Shineville sedia diduduki

AIR ITAM – Kegembiraan jelas terpancar di wajah 234 pembeli unit kos sederhana rendah ( LMC ) Taman Shineville di sini apabila secara rasmiya dalam tempoh 14 bulan sahaja , mereka (pembeli) berjaya memperoleh kunci menduduki rumah baru-baru ini.

Majlis penyampaian tersebut disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai. Hon Wai berkata,

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat amat menitikberatkan dan membuat kawalan ketat agar projek-projek perumahan dapat disiapkan dengan cepat dalam tempoh kira-kira setahun.

“Syukur taman ini siap dalam tempoh 14 bulan, maka dengan itu pembeli tidak perlu menunggu terlalu lama.

“Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat bukan sahaja membina rumah mewah, kondominium mewah,tetapi kita (Kerajaan Negeri) telah minta pemaju untuk bina 30 peratus daripadanya adalah rumah kos sederhana rendah.

“Ini adalah sebahagian daripada obligasi sosial pemaju untuk membina rumah kos sederhana rendah (LMC),” ujarnya pada Majlis Penyerahan Kunci menduduki Taman Shineville di Air Itam di sini baru-baru ini.

Taman Shineville yang dibangunkan pemaju, Jiran Bina turut dipertanggungjawabkan membina 299 unit kos mewah (36 tingkat) dan 90 buah rumah teres tiga tingkat di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Hon Wai memberitahu bahawa Lebuhraya Thean Teik turut dinaiktaraf sepanjang 350 meter bagi tujuan menyuraikan kesesakan trafik di kawasan Air Itam khususnya.

“Lebuhraya Thean Teik telah dinaiktaraf daripada empat laluan sedia ada kepada enam laluan bermula di kawasan perkuburan masyarakat Cina di Khoo Kongsi hingga Batu Lanchang,” jelas beliau.