Siapa sebenar politikkan isu air, Ketua Menteri tanya pembangkang

Admin
241ff3e4 8af6 4535 ba00 9128f3aa4501 KETUA Menteri

SUNGAI BAKAP – Berbaki dua hari sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Sungai Bakap melabuhkan tirai kempen, pembangkang terus didesak untuk bersikap lebih jujur dalam isu tekanan air rendah sekitar kawasan kejiranan hujung paip agihan di daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pentadbirannya sejak tahun 2009 memang senantiasa berusaha memperbaiki sistem penyampaian air bersih ke seluruh negeri ini termasuk melaksanakan lapan Projek Kontigensi Air Pulau Pinang 2030 bernilai RM1.1 bilion, namun pembangkang sepanjang tempoh kempen PRK ini yang terus mempolitikkan isu berbangkit tersebut.

“Apabila Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man langsung tidak melakukan apa-apa semasa menjadi Menteri Air (dan Sumber Asli, KASA), terus pembangkang meminta supaya isu (tekanan air rendah) ini tidak dipolitikkan.

“Saya nak tanya kepada pembangkang Pulau Pinang, siapa sebenarnya yang mempolitikkan isu ini,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi semasa berucap dalam Majlis Ceramah Perpaduan di tapak parkir Halaman Indah di sini pada 3 Julai 2024.

 

7a5fe625 6a64 48b0 af4f 4b67d877580a
SUASANA ceramah politik di sini pada malam ini.

Sehubungan itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan sekali lagi merayu kepada penduduk setempat supaya memberi peluang kepada calon Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin dipilih sebagai ADUN Sungai Bakap yang baharu.

Selain Joohari, turut berucap, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital, Zairil Khir Johari yang juga Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri Pulau Pinang; Menteri Ekonomi merangkap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli; Menteri Dalam Negeri merangkap Setiausaha PKR, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Naib Presiden Parti Amanah Negata (Amanah) nasional, Datuk Wira Mahfuz Omar, dan bekas ADUN Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah antara pemimpin yang berucap dalam ceramah mega pada malam ini di sini.

Bercakap kepada pemberita sebelum itu, Kon Yeow menganggap berbaki dua hari tempoh berkempen ketika ini menyaksikan saingan antara calon Perpaduan dan pembangkang Pulau Pinang adalah hebat dan sengit.

Melihat perkembangan itu, Kon Yeow berharap sekalian penduduk yang layak supaya keluar pada Sabtu ini bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Kita masih menganggap perlu bekerja lebih hebat bagi mendapatkan jumlah keluar mengundi…apa-apa pengiraan dan pengunjuran tidak akan menjadi kenyataan sekira pengundi tidak keluar mengundi.

“Jadi, pada ketika ini tak berani mengatakan kita (Perpaduan) menang, walau kita tak semestinya kalah.

“Ini, saingan yang hebat dan sengit, kalau majoriti pun (perbezaan undi) kedua-dua pihak dalam beberapa ratus undi sahaja.

“Kalau sesiapa menang atau kalah pun, bebezaan dalam beberapa ratus undi sahaja,” katanya yang juga Pengerusi DAP negeri.

Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ke-15 pada tahun lepas menyaksikan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurhidayah Che Rose tewas tipis dalam saingan dua penjuru dengan ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff daripada PAS, dengan kurangan 1,563 undi sahaja.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS