GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memantau perkembangan semasa kes COVID-19 secara teliti serta akan memuktamadkan keputusan berhubung persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberi reaksi spontan tersebut kepada pemberita, selepas mengadakan lawatan ke acara Program Saringan Massa COVID-19 Pulau Pinang Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Komtar di sini pagi tadi.
“Kita ada menghantar notis kepada sekalian ADUN bahawa persidangan akan berlangsung pada 30 Ogos ini, dan kita akan pantau keadaan semasa (berkaitan wabak COVID-19) secara teliti.
“Kita mesti realistik serta pantau keadaan semasa (yang mana) segala pengaturcaraan yang diperlukan sedang dilaksanakan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong sejurus program berkaitan di sini pada 5 Ogos 2022.
Menurut Kon Yeow, peraturan mesyuarat berkaitan hanya membenarkan perjalanan mesyuarat dilaksanakan secara bersemuka, bukan maya.
“Peraturan mesyuarat hanya membenarkan ia berlangsung secara bersemuka, maka kita perlu membuat penyusunan semula kedudukan (semasa mesyuarat nanti),” ulasnya sambil memberitahu bahawa prosedur operasi standard (SOP) berkaitan bagi persidangan DUN juga akan dimaklumkan kemudian.
Turut serta, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Ketua Polis Negeri, Dato’ Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI