Sidang DUN Pulau Pinang ditangguhkan

Admin

GEORGE TOWN – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak setelah dua hari bersidang sejak semalam, 6 Mac 2023.

 

Sepanjang persidangan dua hari, sebanyak 69 soalan lisan; 586 soalan bertulis; dua usul serta satu rang undang-undang dibentangkan serta dibahaskan.

 

Usul bertajuk Pengisytiharan Kekosongan Empat Kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di bawah Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang dipersetujui majoriti untuk diluluskan menjadi ‘panas’ apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Bertam, Seberang Jaya, Sungai Acheh dan Teluk Bahang diarahkan meninggalkan Dewan Undangan Negeri, semalam.

 

Manakala usul tanpa pemberitahuan yang dibawa oleh ADUN Air Putih, Lim Guan Eng hari ini berhubung ketetapan DUN Pulau Pinang terhadap kenyataan provokasi bersifat ekstremis oleh Menteri Besar Kedah yang menyentuh isu kedaulatan negeri ini diterima sebulat suara selepas selesai sesi perbahasan berlangsung. 

 

Hari ini juga, ADUN Pinang Tunggal yang juga Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mengemukakan Rang Undang-Undang bernama ‘Suatu Enakmen bagi mengadakan peruntukan bagi pentadbiran Agama Islam dan perkata berhubungan dengannya’ turut dibahaskan dan diluluskan oleh DUN Pulau Pinang.

 

Sebelum ditangguhkan, Yang Dipertua DUN, Dato’ Law Choo Kiang menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat atas kerjasama sepanjang persidangan berlangsung dan menzahirkan ucapan ‘Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia’ yang bakal diraikan esok serta ‘Selamat Menyambut Bulan Ramadan’ kepada semua yang meraikannya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & AHMAD ADIL MUHAMAD