Sidang Muda khas untuk wanita mulai tahun 2020

SEBERANG JAYA – Sesi Sidang Muda khas untuk kaum wanita akan diadakan tahun hadapan.

 

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut Bersama-sama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) berhubung hasrat tersebut.

 

“Saya akan berbincang dengan PWDC agar sidang khas ini boleh diadakan pada tahun hadapan sekurang-kurangnya pada April (2020) nanti melibatkan pejabat Speaker DUN, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dan PWDC sendiri.

 

“Saya berharap perkara ini dapat menyuburkan lagi demokrasi di negeri Pulau Pinang khususnya melibatkan golongan wanita untuk menceburi bidang politik serta menyuarakan pendapat dalam membangunkan negeri,” katanya pada sidang media sejurus mempengerusikan Sidang Muda 2019 di Menara Bandaraya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MPSP) pada 3 November 2019.

 

Sementara itu, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee memaklumkan bahawa Sidang Muda akan diadakan dua kali setahun mulai tahun hadapan.

 

“Mulai tahun hadapan, PYDC akan bekerjasama dengan Pejabat Speaker DUN untuk menganjurkan Sidang Muda sebanyak dua kali setahun sama seperti persidangan DUN Pulau Pinang berbanding cuma sekali sekarang.

“Program ini juga selaras dengan Visi Penang2030 yang menekankan peningkatan penyertaan belia, wanita dan senior dalam kehidupan masyarakat serta menyediakan platform untuk orang awam terlibat dalam pembangunan sosial di Pulau Pinang,” ujarnya.

 

Difahamkan, seramai 21 peserta mengambil bahagian dalam Sidang Muda 2019 kali ini setelah melepasi saringan.

 

Tahun ini, sesi Sidang Muda membahaskan Belanjawan 2020 Negeri Pulau Pinang yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada 1 November 2019 lalu.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN