SEBERANG JAYA – Susulan kejayaan tiga edisi Sidang Wanita Pulau Pinang sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) sekali lagi melancarkan edisi keempat bagi tahun 2023.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, Sidang Wanita merupakan platform yang disediakan khas untuk wanita di negeri ini mengasah dan mengetengahkan bakat dalam bidang kepimpinan terutamanya dalam arena politik.
Beliau turut menzahirkan rasa kagum akan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para wanita yang hadir semasa majlis berkaitan.
“Program ini dirangka khas untuk wanita meningkatkan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang tugas perundangan wakil rakyat.
“Melalui penganjuran ini juga, para peserta dapat merasai sendiri perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sejajar dengan tema kali ini “Tambah Perwakilan Wanita Untuk Manfaat Semua”.
“Tahun ini terdapat peningkatan penyertaan sebanyak 232 penyertaan yang telah mendaftar dan seramai 81 peserta berjaya melangkah ke Fasa Dua.
“Hal ini telah membuktikan bahawa Sidang Wanita diterima baik dan sememangnya adalah satu platform yang baik untuk wanita melatih diri untuk menjadi pemimpin,” ujarnya semasa Majlis Perasmian Bengkel Pembangunan Kapasiti Sidang Wanita Pulau Pinang 2023 baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee; ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng serta ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran.
Mengulas lanjut, Siew Khim turut menekankan Kerajaan Negeri sememangnya komited dalam usaha memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan.
“Pelaksanaan Dasar Keterangkuman Gender sejajar dengan Visi Penang 2030 yang menekankan pemerkasaan warga Pulau Pinang demi memperkukuhkan penyertaan rakyat atau “Empower People to Strengthen Civic Participation”.
“Justeru, Sidang Wanita dilihat mampu bukan sekadar fokus terhadap institusi pentadbiran kerajaan, bahkan juga turut dilebarkan kepada peringkat komuniti setempat.
“Peserta berpeluang mengetengahkan idea dan membahas isu seperti penglibatan masyarakat, baik wanita mahupun lelaki, dalam hal kesaksamaan gender serta pemerkasaan wanita,” jelasnya lanjut.
Difahamkan, antara sesi pengisian yang diadakan adalah, Sudut Pandang: Suara Mengecil, Di Mana Wanita?; Demokrasi 101; Dialog Wanita: Bersama Pemimpin Negeri Pulau Pinang; Pengucapan Awam; Sesi Advokasi;; Perkongsian: Liku Perjuangan Ku…, Diskusi Panel dan Suara Tokoh serta banyak lagi.
Bengkel Pembangunan Kapasiti Sidang Wanita Pulau Pinang 2023 diadakan pada 23 dan 24 September lalu di Hotel Sunway Seberang Jaya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : PWDC