GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow semasa berucap antara lain berharap bahawa sesi sulung Sidang Wanita Pulau Pinang 2020 yang dianggap sebagai acara bersejarah di negeri ini dapat menghakis stereotaip lama kononnya wanita tidak berminat untuk mengambil bahagian dalam hal-ehwal politik serta pentadbiran negara.
“Penyertaaan anda (40 anggota persidangan) merupakan bukti yang kukuh dan nyata dalam menghapuskan stereotaip gender bahawa wanita tidak berminat dalam politik,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi di Dewan Sri Pinang pada 20 Oktober 2020.
Menurut beliau, 40 anggota persidangan yang dipilih berkenaan adalah yang terbaik daripada kalangan lebih 400 wanita yang menyatakan hasrat untuk menyertai persidangan sulung tersebut.
Justeru, Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam; Chong Eng merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Petugas Sidang Wanita Pulau Pinang 2020 serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng kerana berjaya melaksanakan saringan 40 anggota persidangan terbaik dalam sesi saingan yang sengit sebelum ini.
Turut menyaksikan persidangan tersebut, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; ADUN Sungai Bakap, Dato’ Amar Pritpal Abdullah yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN)Pulau Pinang; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; ADUN Bagan Dalam, M. Satees, ADUN Jawi, H’ng Mooi Lye dan ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit.
Sejak pagi tadi, sesi persidangan dewan dipengerusikan sendiri oleh Speaker DUN, Dato’ Law Choo Kiang.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING