SUNGAI PINANG – Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim hari ini melawat seorang anggota Persatuan Bomba Sukarela (PBS) yang tercedera dan patah kaki ketika melakukan operasi memadam kebakaran tiga premis di Jalan Patani, di sini, semalam.
Siew Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang turut menyampaikan cek sumbangan bernilai RM1,000 semasa melawat K. Sasikumar di Pusat Pakar Loh Guan Lye dekat Jalan Macalister.
“Saya berterima kasih atas jasa mereka (anggota PBS) untuk membantu kita apabila ada kebakaran.
“Pada hari ini, saya menyampaikan sumbangan RM1,000 yang diharap dapat mengurangkan beban beliau (Sasikumar),” jelasnya kepada Buletin Mutiara pada 17 Mac 2025.
Siew Khim berkata, beliau juga akan melawat seorang lagi anggota PBT yang turut mengalami kecederaan ringan semasa melakukan operasi memadam kebakaran semalam.
Dengan ditemani ayah, K. Kanan, Sasikumar memuji keprihatinan Siew Khim yang sangggup meluangkan masa melawatnya, sungguhpun dihambat dengan pelbagai tugasan lain yang lebih penting.
“Semasa saya tengah padam api, air dalam tekanan rendah, dinding mula merekah dan runtuh.
“Saya cuma sempat selamatkan kawan, dia selamat (sementara) saya tercedera di bahagian kaki.
“Sebagai YB, dia (Siew Khin) buat betul-betul kerja dia sebagai seorang YB,” puji Sasikumar.
Dalam satu sidang media semalam, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Endi Sherimi Mohd. Azmi dilaporkan berkata dua anggota PBS terbabit adalah daripada pasukan Sungai Puyu dan Kampung Pisang.
Katanya, kedua-dua anggota berkenaan kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, insiden kebakaran kira-kira jam 3.07 petang semalam telah menerima bantuan awalan daripada pasukan PBS Jalan Perak serta beberapa PBS lain yang seramai 25 anggota.
JBPM memberitahu bahawa insiden itu membabitkan dua kilang cecair pelarut serta logam dan sebuah premis pengelola perkahwinan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT