Sijil halal beri impak positif – Exco

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BATU UBAN – Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim menyatakan bahawa beliau amat berharap lebih banyak pengusaha hotel, kedai tomyam dan kedai makanan milik individu muslim memohon sijil halal.

Katanya, permohonan tersebut lazimnya dapat memberi banyak impak positif dalam perniagaan masing-masing memandangkan industri berkenaan sebenarnya berkembang dengan pesat kini.

“Apabila sesebuah premis atau kedai makanan mempunyai sijil halal, ianya secara tidak langsung mengelakkan rasa was-was dalam kalangan pengguna umat Islam.

“Bagi pelancong luar negara pula (beragama Islam), mereka akan lebih senang untuk mencari rangkaian kedai-kedai yang mempunyai sijil halal apabila berkunjung ke Pulau Pinang,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Sijil Halal kepada Restoran Original Kayu Nasi Kandar, Bukit Jambul di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, sijil halal bukanlah sesuatu yang sukar untuk dipohon memandangkan pihaknya melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan membantu sesebuah premis berkenaan memperoleh pengiktirafan berkaitan.

“Pensijilan halal ini dilihat bukan sahaja mampu menarik umat Islam bahkan bukan Islam akan turut tertarik berkunjung (premis halal) memandangkan kualiti, kebersihan dan keselamatan makanan adalah terjamin,” tambah beliau.

Pada aspek pelancongan, Abdul Malik menyatakan bahawa pihaknya bersedia menjalin kerjasama dengan agen syarikat pelancongan bagi menyenaraikan premis-premis mempunyai sijil halal.

“Sejak galakan permohonan sijil halal dipergiatkan pada tahun 2008, peningkatan permintaan (sijil halal) adalah sangat positif iaitu daripada 55 permohonan (2008), kini mencecah 615 permohonan yang telah siap diproses.

“Selain premis makanan dan restoran, kilang-kilang berasaskan makanan juga boleh memohon sijil berkenaan,’’ jelas beliau.