Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) dan pihak berkuasa tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas
apabila terdapat premis makanan yang mengambil kesempatan sewenang – wenangnya meletakkan logo Halal walhal pihak berkenaan
tidak memilikinya.
Rentetan itu, pemantauan dan notis telah dilaksanakan JAIPP sejak empat tahun lalu, malah, Kerajaan Negeri melalui Halal Penang turut mengenalpasti dan memberi khidmat nasihat kepada pengendali premis makanan supaya mengemukakan permohonan memperoleh Sijil Pengesahan Halal.
Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, JAIPP, Halal Penang dan Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk membantu dalam proses mendapatkan sijil Halal sekiranya pengendali premis makanan memberi kerjasam a sewajarnya.
“Kita khuatir sekiranya pengendali premis tidak memperoleh sijil Halal, isu Halal ini akan berlanjutan dan Kerajaan Negeri tidak akan teragak – agak bawa ke mahkamah untuk tindakan undang-undang,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Menurut Abdul Malik, inisiatif terperinci turut diambil bagi memastikan pembekalan bahan-bahan mentah ke restoran-restoran Halal di Pulau Pinang mengikut piawaian Halal dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Pembekal bahan-bahan mentah perlulah peka terhadap isu Halal dan tidak hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata.
“ Kita ( Kerajaan Negeri ) memandang serius perkara ini kerana isu Halal bukanlah isu remeh yang boleh dipandang enteng,’’ tegas beliau.
Jelasnya, bahan-bahan mentah yang dibekalkan ke restoran Halal bukan sahaja perlu bersih, tetapi juga Halal dan suci, selaras dengan
landasan syariah.
“Aduan yang diterima banyak menyentuh soal penyembelihan ayam mentah dan penggunaan sudu dan garfu di restoran-restoran yang terdapat di pusat membeli belah.
“Kita juga ada menerima aduan di mana beberapa premis makanan yang tidak ada Sijil Pengesahan Halal atau meragukan,’’ ujar Abdul
Malik.
Lanjutan itu, Abdul Malik turut bercadang untuk mengadakan perjumpaan dengan pengendali premis makanan terutama di kompleks membeli-belah berhubung isu Halal.
“Kita tidak mahu timbul keraguan orang Islam apabila mengunjungi medan selera di sini,’’ jelasnya.