Sijil Perakuan Kekompetenan buka peluang nelayan tambah pendapatan

Admin

PERAI – Kumpulan pertama terdiri daripada 10 nelayan yang terlibat dengan Projek Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSR) berjaya lulus dan mendapat Sijil Perakuan Kekompetenan (COC) bagi membolehkan mereka bekerja sebagai pelaut di perairan Malaysia.

 

 

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Infrastruktur Pulau Pinang (PIC), Dato’ Seri Farizan Darus, melalui sijil tersebut, mereka berpeluang memberi perkhidmatan pengangkutan bot untuk pekerja pembinaan dan pelancongan pada masa hadapan sebagai sumber pendapatan harian mahupun alternatif.

 

 

 

“Sama seperti di negara jiran, Thailand, teksi air digunakan secara meluas di sana.

 

 

“(Dan) melalui projek PSR serta perancangan-perancangan pada masa hadapan, mungkin perkhidmatan ini juga dapat diperluaskan ke kawasan lain,” ujar Farizan pada Majlis Penutupan Kursus Jurumudi (Program PELITAKU) di Akademi Maritim Penjana Ilmu Sdn.Bhd. (PENJANA) dekat Taman Inderawasih, semalam.

 

 

Hadir sama, Pengarah Urusan Akademi Maritim Penjana Ilmu Sdn. Bhd., Mohamad Nazir Hamzah; Timbalan Pengarah Projek SRS Consortium, Azmi Mohamed dan Pengurus Kanan SRS Consortium merangkap Pengurus Program PELITAKU, Ahmad Fauzi Ali.

 

 

 

Mengulas mengenai perancangan terkini, Farizan berkata pihaknya kini melaksanakan libat urus bersama-sama komuniti berkaitan di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan mereka berhubung apa yang dimahukan.

 

 

 

“Misalnya kursus yang dijalankan ini, ia tidak akan terhenti di sini sahaja kerana masih terdapat permintaan supaya kursus ini diadakan lagi pada masa akan datang.

 

 

 

“(Dan) dengan bantuan rakan pelaksana seperti SRS Consortium Sdn.Bhd., Kerajaan Negeri juga sedang merancang untuk mengadakan kursus jurumudi yang seterusnya dan program-program bermanfaat kepada komuniti nelayan termasuk anak-anak mereka yang akan berpeluang mengikuti kelas tuisyen percuma dalam masa beberapa bulan lagi.

 

 

 

“Kita (PIC) sifatkan ini sebagai pelaburan untuk masa hadapan… sekiranya projek ini berjaya, pelabur akan mendirikan kilang dan kemudahan di sini untuk tempoh tujuh ke lapan tahun dari sekarang.

 

 

 

“Maka, kumpulan pelajar pertama dari anak-anak tempatan ini akan dapat peluang pekerjaan di situ seterusnya berbakti kepada Pulau Pinang tanpa perlu berkelana jauh,” katanya lagi.

 

 

 

 

 

Difahamkan, kursus turut merangkumi topik penjanaan peta, peraturan, meteorologi, pengetahuan umum mengenai kapal dan kejuruteraan, latihan am dan ‘Restricted Operator Certificate’ (ROC).

 

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD