![PLOT-plot sayur-sayuran Projek Bumi Hijau Taman Desa Damai, Bukit Mertajam.](https://www.buletinmutiara.com/wp-content/uploads/2016/01/c-300x199.jpg)
Oleh : YAP LEE YING
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
FOKUS, impian dan komitmen yang disemai sejak April 2010, akhirnya membuahkan hasil!
“Apa yang kami impikan telah tercapai. Sangat bangga dan ia merupakan suatu kepuasan.
“Pengiktirafan ini menjadikan Projek Bumi Hijau Taman Desa Damai lain dari yang lain, kebanggaan kami!” kata Ng Tho Heng, 65, ketika berkongsi kejayaan apabila Projek Bumi Hijau atau juga dikenali sebagai Pertanian Hijau di bawah pengurusannya memperoleh Sijil Skim Organik Malaysia atau Sijil SOM dari Jabatan Pertanian pada 8 November 2015.
Katanya, dengan kejayaan tersebut, ia bermakna projek komuniti di bawah ‘pertubuhan bukan kerajaan’ (NGO) dengan keluasan kawasan tanaman 0.125 hektar (terkecil, berbanding dengan yang sedia tersenarai) di Taman Desa Damai, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah (SPT) merupakan yang pertama dalam negara yang memperoleh pengiktirafan berkaitan.
“Kini, cabaran sebenar adalah untuk maintainkan (kekalkan) gelaran tersebut kerana sijil itu hanya ‘sah laku’ sehingga 31 Disember 2016 sahaja ,” selorohnya sambil ditemani rakan ‘seperjuangan’, Yap Sin Wai, 67.
![NG Tho Heng.](https://www.buletinmutiara.com/wp-content/uploads/2016/01/a-300x199.jpg)
Berkongsi pengalaman, Tho Heng yang peramah perwatakannya memberitahu bahawa Projek Bumi Hijau Taman Desa Damai ditubuhkan pada April 2010 di bawah tunjuk ajar serta nasihat Jabatan Pertanian dan LA21 Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Sekiranya dilihat pada konsep lebih luas, pendekatan hasil inisiatif Jabatan Pertanian dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilaksanakan secara meluas di Malaysia khasnya adalah bertujuan menggalakkan rakyat bercucuk tanam bagi ‘mengeluarkan’ sendiri keperluan bahan makanan harian terutamanya dalam kalangan penduduk taman perumahan bandar dan juga luar bandar.
“Penanaman boleh dilaksanakan secara individu ataupun (secara) berkomuniti.
“Bagi kawasan perumahan yang terdapat tanah lapang berhampiran, penanaman secara komuniti boleh dilaksanakan. Penanaman umumnya akan diuruskan oleh satu badan pengurusan.
“Kaedah ini membolehkan ahli-ahli menanam pelbagai jenis tanaman (jenis renek) dengan mengambil kira kuantiti yang mencukupi untuk penggunaan setiap keluarga.
“Malah, badan pengurusan tersebut akan merancang untuk melaksanakan penanaman di kawasan berkenaan termasuk mendapat kebenaran atau kelulusan secara rasmi daripada pihak yang berkaitan,” jelasnya sambil menyatakan bahawa antara jenis-jenis tanaman yang diusahakan ialah bayam, salad, terung, sawi, cili, kobis dan lain-lain.
Mengulas lanjut, Tho Heng memberitahu, pada peringkat permulaan, terdapat seramai 48 peserta, setiap plot (kawasan tanaman) adalah untuk dua peserta atau ahli yang terdiri dari penduduk kawasan perumahan di sini.
“Masa mula-mula, semua kata nak plot. Namun, setelah kami (pihak pengurusan) menyatakan bahawa corak penanaman perlu ikut syarat dan perlu ada komitmen, ramai ahli yang tidak tahan dan tarik diri.
“Antara syarat yang dikenakan adalah semua tanaman ditanam dan untuk dimakan sendiri. Yang penting, kami perlu memastikan bahawa ahli-ahli tidak menggunakan sebarang racun terhadap tanaman masing-masing. Pegawai pembimbing memang akan datang periksa bagi memastikan bahawa tanaman-tanaman di sini adalah 100 peratus organik dan bebas racun.
“Umumnya, tidak semua orang suka dan minat bidang pertanian. Orang lebih suka tanam pokok seperti pisang dan betik, iaitu tanaman yang tidak begitu memerlukan penjagaan rapi bagi memperoleh hasil,” ujarnya sambil menyatakan bahawa seramai 30 ahli yang masih komited dengan projek berkaitan kini.
![YAP Sin Wai sedang memberi makan ikan talapia yang dibela.](https://www.buletinmutiara.com/wp-content/uploads/2016/01/b-300x199.jpg)
Ketika ditanya faktor penglibatannya dalam bidang berkaitan, Tho Heng yang sebelum ini merupakan pekerja swasta menyatakan bahawa beliau memiliki keinginan untuk ‘bekerjasama’ dengan alam sekitar.
“Selepas bersara dan mendapati terdapat peluang sedemikian, saya tidak melepaskan ia.
“Pada peringkat permulaan, kami menubuhkan Pusat Sumber Alam Sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) di sini, boleh dikatakan yang pertama ketika itu di daerah ini.
“Kemudian, menerusi model yang diperkenalkan YB Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Puyu), kami buat Projek Bumi Hijau dan hinggalah kini,” ujarnya sambil memandang ke arah Sin Wai yang menjadi penghuni taman perumahan berkaitan sejak tahun 1972.
Lazimnya, Projek Bumi Hijau Taman Desa Damai tidak hanya terhad kepada kawasan bercucuk tanam sahaja, sebaliknya ia juga merupakan lokasi pembelajaran bagi kumpulan pelajar, orang-perseorangan, pihak syarikat dan pihak-pihak yang ingin mempelajari dengan lebih lanjut pendekatan berkaitan.
“Sehingga kini, kami telah menerima kira-kira 60 kumpulan pelawat dari dalam dan juga luar negara. Malah, saya turut dijemput ke luar negara untuk berkongsi pengalaman di sini.
“Kebiasaannya, kami menerima lawatan dari kanak-kanak tadika. Pada sesi lawatan tersebut, kumpulan kanak-kanak akan diberi pendedahan mengenai penanaman sayur-sayuran organik di sini. Malah, yang paling menarik adalah mereka juga diberi peluang untuk memasak sayur-sayuran yang dipetik di sini,” katanya yang kini dalam proses mewujudkan sebuah taman herba sebagai tambahan kepada sedia ada.
Bagi Tho Heng, bukan mudah dan bukan semua berminat dalam bidang pertanian, namun, kesedaran terutamanya dalam kalangan generasi muda adalah perlu dipupuk pada peringkat awal demi kepentingan pembangunan bidang berkaitan di masa hadapan.
Baginya, sebagai sebahagian daripada masyarakat umum di alam ini, beliau cuba memainkan peranan dengan sebaiknya. Malah, apa yang penting bagi dirinya kini adalah untuk mengekalkan pengiktirafan pensijilan yang diterima dan amat dibanggakan beliau.
INFO:
Pusat Sumber Alam Sekitar SPT/Dewan MPSP
Lorong Nangka 1, Taman Desa Damai,
14000 Bukit Mertajam, SPT.
Emel : [email protected]
if (document.currentScript) {