Sikap profesional kepimpinan negeri bantu lancarkan pengurusan krisis COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Sikap profesional barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai okeh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow telah membantu melancarkan pengurusan dalam menghadapi krisis pandemik COVID-19.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang, Nazrul Fazami Mohamad ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri dekat pejabat beliau di Komtar sebentar tadi.

Kunjungan hormat tersebut adalah sempena hari terakhir beliau bertugas sebagai Pengarah MKN Negeri Pulau Pinang hari ini.

“Pengurusan memerangi COVID-19 sepanjang dua tahun ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang saya bersama-sama MKN.

“Oleh itu, saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri atas tunjuk ajar dan sikap profesional yang cukup baik sepanjang menghadapi pandemik.

“Saya sangat bertuah kerana bertugas di negeri yang mana Ketua Menterinya merupakan seorang yang merendah diri, mudah dibawa berbincang dan sentiasa memberi tunjuk ajar dalam menghadapi krisis yang paling mencabar ini,” katanya.

Tambah Nazrul Fazami, Pulau Pinang juga menjadi antara negeri yang tidak mempunyai banyak masalah berkaitan bencana besar berbanding negeri-negeri lain.

“Di Pulau Pinang, kita cuma hadapi isu-isu terpencil seperti pencerobohan nelayan asing dan pengedaran dadah yang kini dalam usaha untuk ditangani bersama oleh semua pihak,” ujarnya lanjut.

Dalam pada itu, Kon Yeow mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Nazrul Fazami di atas tanggungjawab baharu yang bakal dipikul beliau.

Difahamkan, Nazrul akan berpindah ke negeri Perak bagi menyambung khidmat beliau di sana.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD