GEORGE TOWN – Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee mempelawa golongan beliau berumur 15 hingga 30 tahun yang memperoleh pencapaian tertinggi dalam bidang yang diceburi untuk memohon Skim Insentif Bakat Muda Pulau Pinang (SIKBMPP) BEST! Anak Penang.
Beliau berkata, di bawah skim tersebut, pencapaian pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa diambil kira bagi melayakkan peserta untuk mendapat insentif melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).
“Ini sebagai salah satu langkah mengiktiraf kejayaan belia-belia di Pulau Pinang yang cemerlang pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa selain daripada bidang sukan.
“Skim Insentif SIKBMPP BEST! Anak Penang ini merupakan satu usaha yang melambangkan iltizam Kerajaan Negeri untuk menyokong bakat-bakat muda di negeri ini agar terus bersemangat dan rasa dihargai dengan pencapaian mereka pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Terbaharu, individu atau berkumpulan yang mendapat tempat kedua atau ketiga dalam apa-apa pertandingan yang dijalankan sejak 1 Januari 2022 juga digalakkan memohon, kerana kita faham sesetengah kejohanan bukan mudah untuk disertai,dan kita sedia pertimbangkan,” ujar Lip Chee dalam sidang media SIKBMPP BEST! Anak Penang di Komtar hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Batu Uban, A. Kumaresan; Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling dan Ahli Lembaga Pengarah PYDC, Khairul Ali.
Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal dalam pada itu berharap lebih ramai belia yang layak memohon skim tersebut agar mereka lebih berani mengorak langkah untuk menyertai kejohanan kebangsaan dan antarabangsa bagi meningkatkan pengalaman dan kebolehan untuk masa depan.
Serentak dengan itu, sembilan penerima serta wakil yang hadir untuk menerima SIKBMPP BEST! Anak Penang pada kali ini.
Pemohon-pemohon tersebut adalah :
1) Chloe Poon Rou Yi dalam acara Intel AI Global Impact Festival
2) R. Kuhan Raj dan R. Arunpillai bagi acara Kangaroo Math Competition
3) Wong King Tong acara Usaha Tegas Heritage Art Competition
4) Lau Yik Yi acara Taylor’s CISA Talent Competition
5) Wayne Ooi Jia Jie dalam acara Help University Asian Secondary School Online English Debate Challeng 2022
6) Yeoh Shu Ying dalam acara Seri Iskandar Debate Open Competition 2022
7) Wong Kim Tong dalam acara 20 Tempat Mid Student Saturday 2022
8) Munirah Muhamad dalam acara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2022.
Sai Ling dalam pada itu memaklumkan bahawa sesi SIKBMPP BEST! Anak Penang bagi sesi kedua telah dibuka.
“Permohonan kali kedua ini akan dibuka sehingga 15 November 2022,” katanya.
Difahamkan SIMBMPP BEST Anak Penang disyaratkan kepada anak negeri dan yang sudah bermastautin di sini sekurang-kurangnya tiga tahun.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI