GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo pada tengah hari tadi mengumumkan bahawa siling harga semua jenis Rumah Mampu Milik (RMM) di Pulau Pinang akan dikurangkan 10 peratus bagi tempoh setahun bermula semalam.
Justeru, beliau berharap polisi baru tersebut bukan sahaja membantu pembeli pertama RMM bagi memiliki unit kediaman selesa masing-masing, bahkan turut merangsang teras ekonomi negeri terutama sektor hartanah yang terjejas dek pandemik COVID-19 supaya segera pulih kembali.
“Kita tak akan bertolak ansur dalam memastikan rakyat Pulau Pinang dapat mengakses RMM, maka sebab itulah kita kurangkan 10 peratus siling harga RMM ini.
“Kita (Kerajaan Negeri) pun tak tahu bila habis pandemik ini, tapi kita harap (polisi baru RMM negeri) ini dapat jana ekonomi untuk bangkit semula.
“Projek-projek baru termasuk yang belum dapat lagi APDL (Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan) untuk dijual kepada rakyat, semuanya terjejas.
“Unit RMM hanya boleh dijual apabila telah mendapat APDL, maka, secara teknikal, 10 peratus ini diberikan bermula dari tarikh dapat APDL,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada sidang media di Komtar, 11 Jun 2020.
Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan), ‘Ainul Fadhilah Samsudi dan Ketua Penolong Setiausaha (Seksyen Dasar & Pembangunan), Fakhurrazi Ibnu Omar turut sertai sidang media tersebut.
Menurut Jagdeep, polisi baru RMM ini diumumkan setelah mendapat pelbagai maklum balas daripada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Swasta (REHDA) Pulau Pinang; Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Pulau Pinang; Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) serta beberapa lagi pemegang taruh dalam kalangan rakyat di negeri ini.
“Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) perlu merangsangkan sektor (perumahan) ini.
“Apabila sektor hartanah ini kembali aktif, ia akan membawa manfaat dan kesan kepada kira-kira 140 sektor lain dalam ekonomi negeri,” jelasnya lagi.
Selepas pengurangan 10 peratus siling harga RMM, Jagdeep menjelaskan bahawa koridor harga seunit rumah antara RM150,000 hingga RM300,000 akan berada pada harga antara RM135,000 hingga 270,000.
Begitu juga RMM di bahagian Seberang Perai, beliau memberitahu bahawa koridor harga seunit rumah antara harga RM150,000 hingga RM250,000 akan turun pada kadar antara RM135,000 hingga RM225,000.
“Selain itu, kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) akan terus kekalkan harga (rumah) kos rendah dan sederhana rendah pada (siling harga) RM42,000 dan RM72,500, berbanding dengan beberapa negeri lain yang telahpun meningkatkan kos kepada RM60,000 dan RM100,000,” katanya.
Di samping itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC) memberitahu Kerajaan Negeri hari ini mensasarkan Pulau Pinang mempunyai bekalan 180,000 unit kediaman menjelang tahun 2030, demi memenuhi permintaan rakyat.
“Sehingga hari ini, sebanyak 105,719 unit RMM pelbagai kategori berada dalam radar pemantauan saya, meliputi 30,191 unit yang telah siap dibina, 24,098 unit dalam proses pembinaan dan 51,432 unit lagi dalam (proses) perancangan atau Kebenaran Merancang,” maklumnya.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, Jagdeep memberitahu bahawa Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang berjaya menurunkan kadar semasa unit rumah tak terjual (overhang).
“Berdasarkan analisis dari data NAPIC (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia) bagi tahun 2017 hingga sukuan pertama 2020 (Q1 2020), Pulau Pinang menunjukkan penurunan yang signifikan dan konsisten iaitu sebanyak -22.3 peratus berbanding Johor (+24.9 peratus), Perak (+116.1 peratus) dan Selangor (+30.5 peratus),” responsnya.
Dalam perkembangan lain, Jagdeep turut berkongsi data kumulatif berhubung tahap pematuhan penduduk Pulau Pinang bagi tempoh 85 hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
“Sehingga 8 Jun, daripada 160,571 premis (komersial) yang diperiksa oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta 250,662 (unit premis komersial) yang diperiksa oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), angka peratusan pematuhan masing-masing adalah 99.65 peratus dan 99.21 peratus…hampir 100 peratus.
“Perang kita terhadap COVID-19 masih belum selesai walaupun sekarang kita berada dalam PKPP atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (10 Jun hingga 31 Ogos 2020).
“Selagi kita belum jumpa vaksin, kita tidak boleh hidup selesa, mesti terus patuhi segala SOP (tatacara operasi standard) dengan amal normal baru seperti jarak sosial, pakai pelitup muka dan senantisa basuh tangan dengan sabun,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penduduk Pulau Pinang kerana bersama-sama Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) dalam berusaha mengekalkan Pulau Pinang sebagai ‘negeri hijau’.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN