PANTAI JEREJAK – Bantuan segera daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin dalam tempoh kurang 24 jam telah meringankan beban empat keluarga mangsa ribut di Kampung Sungai Nibong Besar di sini baru-baru ini.
Tze Tzin berkata, semua mangsa bencana telah menerima bantuan kewangan sebanyak RM800 dan diharap ia dapat mengurangkan beban mereka (mangsa) terutamanya untuk membaiki struktur bumbung yang rosak.
“Kejadian seumpama ini jarang berlaku, namun, saya tetap bersedia dengan pasukan bantuan bagi menghadapi bencana sebegini lagi dengan tujuan untuk meringankan beban mangsa” katanya ketika mengadakan lawatan ke Kampung Sungai Nibong Besar.
Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk kampung supaya mengambil inisiatif sewajarnya dalam menghadapi bencana berkenaan yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Turut hadir bersama memberikan bantuan, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd. Rashid Hasnon, Penghulu Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya, Zul Hazman dan isteri kepada Timbalan Ketua Menteri I, Datin Aishah Zainol.