SEMENJAK diperkenalkan pada tahun 2004 sebagai salah satu instrumen yang membantu ibu bapa membuat perancangan kewangan pendidikan tinggi anak-anak, Skim Simpanan Pendidikan Nasional atau lebih dikenali sebagai Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan serta manfaat kepada pendeposit termasuk pelepasan cukai taksiran sehingga RM8,000 setahun.
Selain itu, melalui Simpan SSPN juga, perlindungan takaful turut diberikan secara percuma di samping menawarkan Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak dengan kadar dividen kompetitif dan simpanan dijamin kerajaan serta patuh syariah.
Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI berkesempatan menemu bual Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), DATUK NORLIZA ABDUL RAHIM di Komtar.
Membuka bicara, Norliza memberitahu bahawa Simpan SSPN kekal sebagai produk paling ‘laku’ dan sering menjadi pilihan ibu bapa untuk memulakan simpanan pendidikan untuk anak-anak mereka.
“Sememangnya, PTPTN sedia membantu ibu bapa membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan seawal usia anak itu dilahirkan.
Matlamatnya adalah untuk melahirkan graduan tanpa hutang dan dengan Simpan SSPN ia dapat merealisasikan impian dan cita-cita untuk memastikan anak-anak terus mendapat pendidikan yang sempurna.
“(Dan) saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah melanjutkan insentif pelepasan cukai taksiran kepada pendeposit Simpan SSPN sehingga tahun taksiran 2024,” ujarnya.
Beliau yang ditemani Pengarah PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman berkata, terdapat dua jenis Simpan SSPN, iaitu Simpan SSPN Plus dan Simpan SSPN Prime.
“Simpan SSPN Prime terbuka kepada semua warganegara tanpa sebarang syarat ditetapkan yang mana deposit boleh dibuat pada bila-bila masa dengan sebarang jumlah.
“Manakala bagi Simpan SSPN Plus pula, terbuka kepada warganegara Malaysia dengan jumlah deposit bulanan ditetapkan mengikut pakej yang dipilih.
“Terdapat enam pakej iaitu Pakej Intan yang mana deposit serendah RM30 sebulan; Pakej Delima (RM50/bulan); Pakej Topas (RM100/bulan); Pakej Zamrud (RM200/bulan); Pakej Nilam (RM300/bulan) dan Pakej Berlian (RM500/bulan).
“Untuk pakej-pakej ini, tiada pemeriksaan kesihatan diperlukan kecuali Pakej Berlian yang mana pendeposit perlu menjawab tiga soalan kesihatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru ibu bapa untuk membuka akaun Simpan SSPN untuk anak-anak.
PTPTN kini sedang dalam kempen Cabutan Wow Simpan SSPN 2024 bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2024 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM1.3 juta kepada 983 pemenang.
“Maka, kepada ibu bapa yang masih belum membuka akaun Simpan SSPN, buka akaun segera…buka akaun seawal anak dilahirkan bukan hanya untuk menyertai kempen ini sahaja tetapi juga supaya tidak perlu melakukan pinjaman untuk pendidikan tinggi anak kelak,” jelasnya.
Pada 6 April lalu, PTPTN mengumumkan agihan dividen Simpan SSPN untuk tahun 2023 sebanyak 3.60 peratus membabitkan anggaran peruntukan RM357.65 juta kepada 6.25 juta pendeposit.
Laporan media arus perdana melaporkan bahawa dividen 3.60 peratus bagi tahun 2023 itu adalah lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu 3.05 peratus.
Kolaborasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Bercakap mengenai kerjasama PTPTN dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Program Anak Emas, Norliza memaklumkan bahawa ia merupakan inisiatif atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memupuk budaya menabung seawal usia.
Inisiatif ini memang patut dibanggakan kerana melaluinya, anak-anak yang dilahirkan di Pulau Pinang akan menerima bayaran tunai sebanyak RM200 yang mana RM100 dikreditkan ke akaun pemohon dan RM100 lagi dikreditkan untuk membuka akaun Simpan SSPN Prime.
“Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana memilih Simpan SSPN sebagai instrumen terbaik sebagai langkah awal penabungan untuk pendidikan,” katanya.
myWaqafPTPTN Untuk Semua
Baru-baru ini, PTPTN melakar satu lembaran baharu dengan mewujudkan myWaqafPTPTN dalam usaha membantu golongan pelajar yang memerlukan melalui kaedah mempelbagaikan saluran dana.
Mengulas mengenainya, Norliza berkata, bermula 1 Ramadan lalu, PTPTN telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).
“Inisiatif myWaqafPTPTN ini membolehkan sumbangan diterima daripada orang ramai, syarikat-syarikat korporat atau mana-mana organisasi yang sah di sisi undang-undang, digunakan untuk membantu mahasiswa dalam bentuk biasiswa pendidikan tinggi.
“Ini akan mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman atau keberhutangan mahasiswa apabila tamat pengajian nanti.
Menariknya, setiap sumbangan kepada myWaqafPTPTN ini, layak mendapat potongan cukai sebanyak 10 peratus daripada pendapatan agregat (di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967).
“Bagi penerima pula, mereka mestilah terdiri daripada pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN dan daripada golongan B40 serta M40 termasuk asnaf atau penerima bantuan berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Negeri.
“(Dan) ia tidak hanya terhad kepada orang Islam sahaja, terbuka juga kepada mereka yang bukan Islam sekali gus memastikan lebih ramai mahasiswa dibantu untuk kelestarian pendidikan tinggi negara, sesuai dengan slogan PTPTN iaitu ‘Pendidikan Tinggi Untuk Semua’,” jelasnya.
Mendepani Digitalisasi
Seiring dengan peredaran masa, PTPTN, kata Norliza turut memperkenalkan aplikasi myPTPTN.
“Melalui aplikasi ini, pendeposit tidak perlu lagi hadir secara fizikal ke pejabat untuk melakukan sebarang urusan.
Urusan menjadi lebih mudah, cuma perlu muat turun aplikasi melalui App Store, Play Store atau Huawei AppGallery dan segalanya boleh diakses di hujung jari.
“Aplikasi myPTPTN ini juga menunjukkan manifestasi PTPTN dalam menjayakan agenda pendigitalan negara dengan mengintegrasikan semua kemudahan dalam satu sistem,” tambahnya.
Difahamkan, melalui aplikasi ini, pendeposit dapat menikmati pelbagai kemudahan dalam satu aplikasi secara Single Sign On (SSO).
Pendeposit boleh menyemak penyata pinjaman, bayaran balik pinjam, semakan penyata Simpan SSPN, membuka akaun dan menambah deposit Simpan SSPN serta permohonan potongan gaji dan debit terus bagi bayaran balik pinjam dan Simpan SSPN.
Dalam pertemuan sama, Norliza turut mendedahkan bahawa di Pulau Pinang terdapat kira-kira 15,000 peminjam yang masih belum membuat bayaran balik pinjaman PTPTN mereka.
“Kami faham dengan keadaan ekonomi sekarang ini amat mencabar untuk sesetengah graduan untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil.
Namun begitu, kami di PTPTN sebenarnya amat menggalakkan sekiranya mereka ini datang kepada kami untuk sama-sama mencari alternatif yang paling sesuai untuk mereka mula membayar hutang pinjaman.
“Ini mungkin termasuk menstruktur semula pembayaran balik pinjaman untuk meringankan beban kewangan mereka.” jelasnya.
Sementara itu, Muhammad Muhsin berkata, pihaknya mengalu-alukan para graduan yang memerlukan bantuan untuk bayaran balik pinjam, hadir ke Pejabat PTPTN Negeri di Permatang Pauh atau mana-mana cawangan di Bayan Baru, UTC Pulau Pinang dan Bukit Mertajam.
“Kami di PTPTN sedia membantu, sama ada untuk membuat tabungan mahupun bayaran balik,” katanya.
Maklumat lanjut layari ptptn.gov.my.