Simposium sains dan teknologi buka pengetahuan baru kepada pelajar

Admin
5a7eaf90 fab2 4c05 84a7 1f7e55b41b53

AIR ITAM – Seramai 167 pelajar dari dalam dan luar negara menyertai Simposium Sains dan Teknologi Belia (STSY) Chung Ling 2024 yang berlangsung dekat dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling, di sini semalam.

Perasmian program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

Semasa berucap, Soon Siang berkata penganjuran STSY 2024 adalah bertujuan memberi peluang kepada para pelajar untuk memperoleh pengetahuan baru dan merasai pengalaman pertukaran budaya antara negara.

Beliau berkata, kemajuan sesebuah negara bukan sahaja dilihat dari segi infrastruktur moden, tetapi juga dalam membentuk golongan muda yang berwawasan, berfikiran inovatif dan menghormati budaya lain.

ac55565c c9dc 4e8a b4d4 860c3666a3d3
JOSEPH Ng Soon Siang.

“Kami (Kerajaan Negeri) telah memperuntukkan RM33,000 bagi menyokong acara ini dengan harapan agar para pelajar dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan saintifik, di samping menggalakkan pemahaman dan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya.

“Dalam era globalisasi ini, pemerolehan ilmu tidak lagi terhad dalam bilik darjah sahaja, malah sudah tiba masanya untuk mengadakan acara seperti STSY ini.

“Pelajar dari seluruh dunia digalakkan untuk menyumbang saran dan bersama-sama mempromosikan inovasi teknologi,” katanya pada Majlis Pembukaan STSY 2024 di dewan Sekolah Menengah Chung Ling, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Sim Wei Hoe dan Pengerusi Lembaga Pengarah SMJK Chung Ling, Dato’ Koay Hean Eng.

Soon Siang turut mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah yang memenangi Third Grand Award in Chemistry dalam Pameran Sains dan Kejuruteraan Antarabangsa Regeneron 2024 yang diadakan di Los Angeles pada bulan Mei lalu.

185e98bb a83e 4d3a ba8c 24127e0cf243
WAKIL pelajar dari setiap negeri dan negara yang terlibat.

Sebanyak 1,357 projek inovasi Sains dan Kejuruteraan dipertandingkan yang melibatkan seramai 1,699 orang murid dari 67 buah negara.

Sementara itu, Hean Eng berkata beliau percaya bahawa inovasi teknologi merupakan elemen penting dalam memacu pembangunan dan kemajuan sosial.

“Seminar ini menyediakan platform komunikasi untuk pelajar dari pelbagai negara bagi menggalakkan mereka mempelajari kerangka tradisional dan melihat sesuatu daripada perspektif berbeza dengan mencari penyelesaian yang sesuai.

“Sebagai contoh, setiap sekolah akan berbincang mengenai ‘penggunaan air pintar dan pengurusan air lestari yang inovatif’, dengan harapan pelajar dapat mencari penyelesaian dalam bagi menangani masalah air global melalui pembelajaran dan komunikasi bersama,” katanya.

Difahamkan, seminar yang akan berjalan selama empat hari itu terbuka kepada pelajar berumur 15 hingga 17 tahun.

Antara aktiviti yang dijalankan merangkumi sesi ‘ice breaking’ dan permainan penyelidikan saintifik, lawatan ke kilang teknologi, pengalaman kebudayaan Melayu, malam kebudayaan dan banyak lagi.

Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : SIEW CHIA EN