Simposium Sains Sukan 2019, ke arah pembangunan sukan masa hadapan – Exco

SOON Lip Che (berkot kelabu) bersama tetamu kehormat menunjukkan isyarat bagus sejurus perasmian Simposium Sains Sukan di PSDC baru-baru ini.

PANTAI JEREJAK – Dalam memantapkan prestasi sukan di negeri ini, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) mengambil inisiatif menganjurkan Simposium Sains Sukan 2019 yang dihadiri oleh sembilan pakar jemputan khas.

 

Simposium yang berlangsung selama dua hari (26 dan 27 Januari) di Penang Skills Development Centre (PSDC) itu dirasmikan oleh Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee.

 

Ketika berucap, Lip Chee yakin bahawa simposium dua hari itu dapat memberikan pengalaman serta pendedahan ilmu yang tidak ternilai buat para peserta khasnya dalam pembangunan sukan negeri pada masa hadapan.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) melalui MSNPP melihat Pulau Pinang mampu menjadi ‘pengeluar’ terbaik bagi atlet-atlet bertaraf dunia, justeru, memperkasakan pihak-pihak berkepentingan dalam sukan dengan pengetahuan seperti sains sukan menjadi kunci utama kejayaan di masa depan.

 

“Ini bukanlah satu penentu dalam jangka masa pendek semata-mata bahkan menjadi satu matlamat yang berterusan yang perlu ditambah baik dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi.

 

Hadir sama, Timbalan Pengerusi II MSNPP, Cheah Ban Cheng; Pengarah bagi MSNPP, Frederick Tan Teck An dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib.

 

Antara panel yang hadir pada simposium tersebut termasuklah Konsultan Perubatan Sukan, Institut Sukan Malaysia (ISN), Datuk Dr. Ramlan Aziz; Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias; Mantan Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi dan lain-lain pakar termasuk dari Singapura.

 

Sementara itu, bagi penutup simposium tersebut, majlis disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dr. Amar Pritpal Abdullah merangkap Ahli Jawatankuasa bagi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bagi Belia dan Sukan.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI