Sisa elektrik dan elektronik perlu dilupus secara betul, elak ancaman kesihatan

Admin

SEBERANG JAYA – Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye menegaskan, sisa barangan elektrik dan elektronik perlu dilupuskan secara betul.

 


Katanya, komponen toksik yang terkandung di dalam kebanyak barangan elektronik boleh mengancam kesihatan orang ramai dan memberi kesan kepada alam sekitar.

 

 

“Sisa elektrik dan elektronik memerlukan kaedah pelupusan yang khusus kerana komponen dalamannya mengandungi bahan toksik dan berbahaya.

 

 

“Sekiranya tidak dilupuskan dengan cara yang betul, ia bukan sahaja mengancam alam sekitar, malah mengancam kesihatan rakyat.

 

 

“(Dan) sekiranya tiada tempat khusus untuk pelupusan dan pengumpulan, Wira Oren Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang membuat kutipan sampah akan terdedah dengan bahaya ini,” ujar beliau pada Majlis Penyampaian Hadiah Bagi Pertandingan Pengumpulan Barang Elektrik dan Elektronik Terpakai Isi Rumah Seberang Perai 2022 dekat Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.

 

 

Turut hadir, Datuk Bandar bagi MBSP, Dato’ Azhar Arshad; Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid; Ahli-ahli Majlis MBSP, Pengarah Urusan Cycle Trend Industries Sdn. Bhd., Datuk Kang Chun Keong dan Pengurus Besar Tsuneishi Kamtecs Corporation, Ji Hoon.

 

 

Mooi Lye memaklumkan sepanjang pertandingan tersebut diadakan selama 10 bulan dari 1 Januari 2022 sehingga 30 Oktober 2022, sebanyak 12 pusat kitar semula telah mengambil bahagian dan beratan barangan buangan elektrik dan elektronik yang terkumpul adalah sebanyak 25,802.5 kilogram (kg).

 

 

“Tahniah di atas pencapaian ini, walaubagaimanapun, saya berharap jumlah pusat kitar semula yang membuat kutipan barang buangan elektrik dan elektronik ini akan bertambah dari semasa ke semasa kerana untuk menampung keluasan Seberang Perai, 12 Pusat Kitar Semula boleh dianggap sebagai bilangan yang agak sedikit.

 

 

“Saya memahami faktor-faktor seperti bilangan syarikat yang berlesen dengan Jabatan Alam Sekitar untuk membuat pembelian dan kutipan buangan elektrik dan elektronik ini mungkin tidak banyak selain faktor logistik.

 

 

“Justeru itu, saya menyeru MBSP untuk membuat perancangan, usahasama dan mencari penyelesaian dengan pihak-pihak yang berkepentingan dalam perkara ini supaya kita boleh mencapai peningkatan yang lebih baik demi kesejahteraan dan keselamatan komuniti Seberang Perai,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.

 

Pada pertandingan tersebut, Pusat Kitar Semula Rukun Tetangga Taman Seri Rambai Fasa II dan III dinobatkan sebagai juara apabila berjaya mengumpul 8,909kg sisa elektrik dan elektronik dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500 bersama sijil.

 

 

Yayasan Humanistik yang mengumpul 7,730kg menduduki tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM300 beserta sijil.

 

 

Manakala tempat ketiga disandang Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Seri Rambai Fasa IV dengan kutipan 2,335kg sisa sambil membawa pulang hadiah wang tunai RM200 dan sijil.

 

 

Dua hadiah saguhati menjadi milik Persatuan Penghuni dan Pemilik Taman Tambun Indah dan Persatuan Agama Buddha Butterworth, kedua-dua persatuan diberikan sijil dan wang tunai RM100.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD