Sisa sampah, komuniti sebagai ‘mata dan telinga’ juga bukan sekadar MPSP

Admin

Tinjauan | Mengejutkan! ‘Berbukit-bukit’ longgokan sampah haram di atas sebidang tanah persendirian dekat Jalan Hutan Petai, Kepala Gajah, Machang Bubuk.

Tinggi longgokan sampah hampir menyamakan bangunan dua tingkat.

Dari jauh, tapak pembuangan sampah haram tersebut seperti Pusat Pelupusan Sampah Pulau Burung yang memang ada laporan Kajian Terperinci Impak Alam Sekitar (DEIA) diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Tampak pembuangan sampah haram di sini memang jauh terpencil dikelilingi hutan kelapa sawit.

Jalan masuk ke sini ada dua kilang, termasuk kilang besi dan membaiki lori.

Salah seorang pekerja, berbangsa India, umur 40-an yang enggan identitinya diketahui memberitahu bahawa pusat pelupusan sampah di sini sudah wujud lebih 10 tahun.

Katanya, beliau sendiri ingat di tapak pelupusan sampah di sini adalah ‘sah’.

“Sudah berpuluh tahun tempat buang sampah ini wujud,” jelasnya pada 22 Mac 2019 di sini.

Menurutnya, beliau sendiri baru terbaca laporan berita arus perdana mengenai pusat pelupusan sampah tersebut.

Menurut laporan berita sebuah akhbar arus perdana, dikatakan, tanah persendirian yang dijadikan pusat pelupusan sampah haram itu adalah milik tiga penama.

Namun, lelaki berkenaan menyatakan kepada Buletin Mutiara bahawa penghuni salah sebuah rumah berhampiran tempat beliau berkerja merupakan tuan tanah persendirian tapak pelupusan sampah haram itu.

Beberapa kali juga kami memberi salam, sebelum disahut oleh seorang wanita Cina berusia 50-an.

Beliau berkata bahawa dirinya adalah pekerja sahaja di rumah tersebut, sambil memberikan nombor telefon bimbit majikannya.

‘Majikannya’ cuba dihubungi untuk mendapatkan maklum balas mengenai aktiviti pembuangan sampah haram, namun, tidak berjawab.

Lalu, kami terus meninjau ke tapak pembuangan sampah haram. Di sini, terdapat notis perundangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), mungkin susulan beberapa soalan pemberita kepada Yang di-Pertuanya, Dato’ Rozali Mohamud semalam (21 Mac 2019).

Notis tersebut antara lain tertera komitmen MPSP untuk merujuk pihak terbabit ke mahkamah sekiranya tidak melaksanakan beberapa arahan berkaitan tapak pelupusan sampah haram itu.

Dalam notis itu juga turut disebut bentuk hukuman termasuk penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 dan denda boleh meningkat sehingga RM50,000 bagi suatu kesalahan yang berterusan bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan.

Buletin Mutiara cuba mendapatkan respons lanjut daripada Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Ketika dihubungi, Boon Poh menzahirkan rasa kesal dengan aktiviti pembuangan sampah haram, dan beliau menyatakan bahawa pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti tindakan perundangan yang wajar ke atas pihak-pihak terbabit.

“Saya begitu kecewa kerana telah beberapa kali pihak tertentu diberi amaran tapi seolah-olah tidak menghiraukan risiko penguatkuasaan.

“Walaupun dah dihebahkan dalam surat khabar, mereka tak kisah.

“Saya telah mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas.

“Apabila mereka letak sampah di sana tanpa kelulusan DEIA, kena ada suatu jawatankuasa khas untuk mempertimbang langkah-langkah penguatkuasaan yang wajar diambil ke atas mereka,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.

Dalam perkembangan berasingan, ADUN Machang Bubuk Lee Khai Loon turut mengadakan lawatan tapak, susulan isu tapak pembuangan sampah haram itu dilaporkan dalam beberapa media arus perdana.

Dalam sidang media pada 10.30 pagi tadi, Khai Loon ada mengemukakan cadangan untuk menangani isu berbangkit tersebut.

“Sebelum ini, pernah saya mencadangkan supaya didirikan pondok jaga yang beroperasi 20 jam untuk memantau aktiviti pembuangan sampah haram, tetapi tidak dilaksanakan.

“Oleh kerana tanah itu bukan milik Kerajaan Negeri, saya ingin mencadangkan sekali lagi untuk pihak berkuasa mendapatkan kebenaran tuan tanah bagi memasang CCTV (sistem kamera litar tertutup) sebagai memantau aktiviti ini di sini,” ujarnya kepada pemberita.

Sebelum kami meninggalkan tapak pelupusan sampah haram di sini, kelihatan sebuah lori yang membawa penuh muatan sampah masuk ke kawasan ini.

Lalu, kami pun memberanikan diri mengikut lori sampah berkaitan.

Menyedari lori sampah itu sedang diikuti, pemandunya berhenti lalu keluar dan menghubungi seseorang.

Kami terus bertanya kepada beliau, sama ada beliau mahu membuang sampah ke tapak pelupusan sampah haram di sini atau sebaliknya?

“Saya bukan mahu membuah sampah di sini, cuma menghubungi seseorang kawan di sini,” jelasnya lalu bergegas memandu lori yang sarat dengan sampah itu meninggalkan tapak pelupusan sampah.

Oleh kerana tapak pelupusan sampah haram di sini adalah jauh daripada kawasan penempatan penduduk, Buletin Mutiara berjaya mendapatkan beberapa lagi respons daripada tiga peniaga Melayu di jalan utama sebelum simpang masuk ke sini.

Masing-masing enggan nama serta identiti mereka diketahui khalayak.

Menurut peniaga pertama, seorang wanita berusia 40an, memberitahu bahawa jalan utama di sini memang laluan utama lori memandangkan di sini ada beberapa kilang.

“Lori memang banyak melalui jalan ini, tapi, kami tak tahu ada tapak sampah haram, sebab terlalu ‘ke dalam’ dari jalan utama di sini.

“Kalau tanya pekerja kilang-kilang di situ, mungkin mereka tahu,” katanya.

Menurut seorang lagi peniaga warung makanan, lelaki, 60an, tapak pembuangan sampah haram itu asalnya adalah kolam ternak ikan.

“Mungkin sampah dibuang di situ, termasuk begitu banyak guni bawang dibuang ke situ untuk ‘kambus’ kolam itu.

“Di sini bukan kawasan penempatan penduduk, mungkin sebab itu isu ini tidak mendapat perhatian mereka,” jelasnya.

Seorang lagi responden, pengunjung warung makanan di sini mengaku bahawa bukan di tapak pelupusan sampah haram itu sahaja, malah banyak kawasan lain yang jauh daripada penempatan penduduk di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Machang Bubuk dijadikan kawasan pembangunan sampah haram.

“Bukan di sini sahaja, di sepanjang jalan utama itu juga, kita boleh sedar banyak bahu jalan dijadikan tapak longgokan sampah dan sisa binaan,” ujarnya.

Beliau berkata, komuniti setempat sepatutnya mengambil bahagian sebagai ‘mata dan telinga’, bukan sekadar ‘lepas tangan’ kepada MPSP semata-mata apabila isu pusat pelupusan sampah haram dekat Jalan Hutan Petai, Kepala Gajah menjadi berita sensasi dalam beberapa media arus perdana baru-baru ini.