Sistem ‘bawah naik ke atas’ beri manfaat buat penduduk, empat buah lif Perumahan Kampung Kastam dinaiktaraf

Admin
LIM Guan Eng menandatangani plak naik taraf lif di Perumahan Kastam Bukit Gelugor simbolik kepala perasmian projek tersebut, semalam.

SERI DELIMA – Hasil dari menggantikan kerajaan (Pusat) yang baharu, lif yang sudah 20 tahun tidak diganti di Perumahan Kastam Bukit Gelugor kini dapat direalisasikan, ujar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng memberitahu, kerja-kerja menaik taraf empat buah lif berkenaan menelan belanja sebanyak RM998,900.

Melalui naik taraf ini, kita nak ubah sistem sikit, kita tak mahu kerajaan ‘atas ke bawah’ kalau boleh kita nak campur aduk sikit nanti kita nak lihat dari ‘bawah naik ke atas’ (permohonan yang dikemukan rakyat kepada kerajaan).

Dan inilah salah satu contoh projek ‘bawah naik ke atas’ atas inisiatif Persatuan Penduduk Perumahan Kastam Bukit Gelugor. 

Sekiranya ada penglibatan seperti ini, bukan sahaja ianya dapat digunakan sebaik-baiknya tetapi akan pastikan ianya beri manfaat, keberhasilan 100 peratus kepada penduduk di sini,” ujar Guan Eng ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Naik Taraf Lif Perumahan Kastam Bukit Gelugor baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang; Ir. Shahabuddin Muhayidin;  Pengarah Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) Pulau Pinang, Datuk Zaidi Ismail dan Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Kastam Bukit Gelugor, Faizal Md. Yusof.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berharap, projek terbabit yang dijangka memakan masa selama enam bulan dapat disiapkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Dalam pada itu, Faizal ketika ditemui berkata, permohonan untuk menaik taraf lif berkenaan diutarakan kepada Zairil pada bulan Jun 2018.

Kami banyak menerima sungutan daripada penduduk apabila mereka  terpaksa menaiki tangga sehingga ke tingkat 20 dan lebih memeritkan lagi ianya berlaku pada bulan Ramadan tahun lalu,” ujarnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD