Sistem i-SWeeP pastikan perkhidmatan pembersihan di Seberang Perai lebih efisien

img 20241016 wa0017

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama dalam negara yang mengguna pakai sistem pengurusan bersepadu perbandaran dikenali sebagai Integrated Solid Wasted and Public Cleasing Management System atau i-SWeeP.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata aplikasi sehenti yang mengintegrasikan perkhidmatan perbandaran dengan teknologi pintar itu dapat memastikan kerja-kerja perkhidmatan pembersihan di Seberang Perai dapat dijalankan secara lebih efisien.

“Modul yang menarik perhatian tentunya berkaitan dengan pengurusan syarikat kontraktor pembersihan yang mana laporan kerja dapat dijana secara automatik dan teguran kepada kontraktor yang tidak mengikut spesifikasi dapat dibuat melalui sistem ini.

“Selain itu, semua aduan berkaitan perkhidmatan perbandaran juga dapat diakses melalui modul pengurusan aduan i-SWeeP.

“Inisiatif ini juga ,sekali gus dapat menjimat masa serta tenaga dalam kalangan kakitangan MBSP,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan sistem i-SWeeP dekat Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini sebentar tadi.

img 20241016 wa0019img 20241016 wa0015

Hadir sama, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Pengarah Pembandaran MBSP, Ahmad Zabri Mohamed Sarajudin serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Sementara itu, Baderul Amin menjelaskan bahawa i-SWeeP merupakan aplikasi sehenti untuk semua fungsi utama Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP yang merangkumi 10 modul pengurusan yang lengkap.

Menurutnya, modul pengurusan yang terlibat ialah maklumat dan data, kakitangan, beratan sampah, tuntutan elaun perjalanan, bahagian operasi, kenderaan, syarikat kontraktor pembersihan, penguatkuasan, fasiliti sisa pepejal serta aduan.

“Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP mempunyai kakitangan yang ramai iaitu sebanyak 2,091 orang.

“Justeru, bagi memudahkan urusan pemantauan kerja, MBSP telah menghasilkan sistem bersepadu ini yang berkemampuan untuk memudahkan pemantauan dijalankan ke atas setiap perkhidmatan pembersihan yang diberikan oleh MBSP,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD