Sistem pangkalan data SPAJa bantu agensi teknikal laksana kerja selenggara jalan negeri dengan efektif

Admin
whatsapp image 2024 03 04 at 11.15.04

GEORGE TOWN – Sistem Pengurusan Aset Jalan (SPAJa) yang dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Selia Selenggara Sdn. Bhd. dilihat dapat memantapkan lagi keupayaan agensi teknikal dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di negeri ini.

 

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, SPAJa merupakan satu platform yang dibangunkan untuk agensi-agensi teknikal di negeri ini yang mengandungi verifikasi data jalan negeri.

 

“Sistem pangkalan data ini mempunyai empat modul utama yang menjadi rujukan agensi-agensi teknikal berkaitan.

 

“Semua koordinat jalan-jalan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) telah dicerap dan diplotkan jajaran jalan yang mana data tersebut dapat dilayari menggunakan web base sahaja.

 

“Pada tahun 2021, sistem ini ditambah baik yang mana kini boleh diakses menggunakan rangkaian luar iaitu ‘SPAJa Mobile’ bagi memudahkan agensi terlibat mengakses data-data jalan di dalam SPAJa secara ‘on the go’, tidak kira walau di mana jua berada tanpa mengira waktu,” ujarnya pada Majlis Perasmian Sistem Pengurusan Aset Jalan (SPAJa) di sini pagi ini.

whatsapp image 2024 03 04 at 11.15.03
ZAIRIL Khir Johari ketika berucap pada majlis berkaitan di sini.

Menurut Zairil, SPAJa dibangunkan secara berfasa bermula tahun 2020 melalui Projek Pencerapan Data Jalan Untuk Pendaftaran MARRIS dan Kajian Ketahanan Jalan (HDM-4) bagi jalan-jalan negeri di Pulau Pinang.

 

Antara kelebihan SPAJa ini bukan sahaja merekodkan kondisi jalan tetapi juga membantu unjuran kewangan dan pembaikan serta data-data perabot jalan.

 

“Sistem ini membolehkan agensi teknikal berkaitan melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang lebih sistematik dan komprehensif.

 

“Sebagai contoh, melalui sistem ini, agensi-agensi terlibat dapat mengetahui kondisi jalan dan tempoh masa yang diperlukan untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan atau pembaikan.

 

Secara tidak langsung, SPAJa ini membantu agensi-agensi teknikal ini membuat perancangan yang lebih efektif.

 

“(Dan) bagi memastikan keselamatan data-data di dalam sistem ini terjamin, pangkalan data telah ditempatkan di Pusat Data Sektor Awam (PDSA) Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di Kulim, Kedah,” jelasnya.

whatsapp image 2024 03 04 at 11.15.04 (1)
ZAIRIL Khir Johari (dua dari kanan) menyerahkan buku modul Sistem Pengurusan Aset Jalan (SPAJa) kepada salah satu agensi negeri yang terlibat.

Difahamkan, sejak Fasa 1 sistem ini dilaksanakan, jumlah peruntukan MARRIS yang diterima meningkat, bermula dengan hanya RM183.36 juta pada tahun 2019 dan kini RM208.77 juta hasil daripada kerja-kerja cerapan, kemas kini dan pendaftaran jalan ke dalam MARRIS.

 

Dalam pada itu, Zairil berharap sistem ini dapat dimanfaatkan dan diguna pakai setiap agensi yang melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri di Pulau Pinang.

 

Seluruh jalan-jalan negeri di Pulau Pinang telah dicerap dan direkodkan ke dalam SPAJa membabitkan 6,450 kilometer (km) jalan bagi empat fasa.

 

“Malah, penggunaan sistem (SPAJa) ini juga selari dengan Visi Penang2030 dalam mengukuhkan ketersambungan kemudahan digital,” katanya.

 

Pada majlis sama, Zairil turut menyerahkan buku modul SPAJa kepada agensi-agensi terlibat iaitu JKR, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP); Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan Tanah dan Jabatan Kewangan Negeri.

 

Turut berucap sebelum itu, Jurutera Awam Penguasa (Jalan) JKR Negeri, Rohaizi Hashim.

 

Hadir sama, Pengerusi Selia Selenggara Sdn. Bhd., Datuk Ir. Zulakmal Sufian dan Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (Sektoral), M. Lekshimi serta wakil daripada Selia Selenggara Sdn. Bhd. dan agensi berkaitan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD