SJKC Min Sin johan kawad kaki PBBSR peringkat negeri

img 20240827 wa0022

PADANG LALANG – Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin dinobatkan sebagai johan bagi Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Sekolah Rendah (PBBSR) Peringkat Negeri Pulau Pinang tahun ini.

Formasi kawad kaki yang kemas ditunjukkan oleh pasukan SJKC Min Sin yang diwakili Persekutuan Pengakap telah melayakkan mereka menjulang dua trofi kejuaraan, masing-masing bagi kategori PBBSR Puteri dan PBBSR Putera.

Naib johan bagi kategori PBBSR Puteri menjadi milik Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai manakala SK Sungai Duri terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

SK Mengkuang pula diumumkan sebagai naib johan bagi kategori PBBSR Putera, sementara tempat ketiga menjadi milik SK Sungai Kechil.

Ketua platun terbaik pada tahun ini masing-masing telah dianugerahkan kepada SK Sungai Duri (PBBSR Puteri) dan SK Mengkuang (PBBSR Putera).

img 20240827 wa0031img 20240827 wa0030img 20240827 wa0027img 20240827 wa0024

Selain itu, SJKC Min Sin juga diumumkan sebagai naib johan bagi kategori Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) Putera dan menduduki tempat ketiga bagi TKRS Puteri yang turut dipertandingkan hari ini.

Trofi kejuaraan bagi kategori TKRS Puteri berjaya dijulang oleh pasukan SK Sungai Batu manakala naib johan dimenangi oleh SK Juara.

Bagi kategori TKRS Putera pula menyaksikan SK Sungai Rambai telah dinobatkan sebagai johan pertandingan manakala tempat ketiga milik SK Sungai Bakap.

Guru Besar SJKC Min Sin, Lim Yin Chao ketika ditemui berkata bahawa tahun ini merupakan kali pertama SJKC Min Sin terpilih untuk bertanding dalam keempat-empat kategori kawad kaki.

“Keputusan hari ini adalah hasil daripada semangat juang yang tinggi telah ditunjukkan oleh para pelajar, dan ini juga boleh dianggap sebagai kejayaan untuk sekolah.

“Cuaca pada hari ini kurang baik, oleh itu pasukan kami terpaksa meneruskan pertandingan dalam suasana hujan yang agak lebat.

“Namun saya percaya mereka telah melakukan yang terbaik dan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan dan ini sesuatu yang wajar diberikan pujian,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Yin Chao berkata, walaupun gembira dengan keputusan hari ini namun beliau sedikit kecewa apabila pasukan TKRS bagi kedua-dua kategori puteri dan putera terlepas trofi kejuaraan pada tahun ini.

Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang terlibat serta ibu bapa dan barisan guru yang telah banyak memberikan sokongan sehingga SJKC Min Sin berjaya meraih keputusan membanggakan hari ini.

“Walau apapun keputusan hari ini, saya harap para pelajar dapat mengambil perkara ini sebagai suatu proses pembelajaran untuk menjadi lebih baik lagi” ujarnya.

img 20240827 wa0026img 20240827 wa0025img 20240827 wa0023img 20240827 wa0028

Sementara itu, jurulatih pasukan kawad kaki sekolah, Ang Aik Fung memberitahu bahawa sesuatu yang mengejutkan apabila Persekutuan Pengakap lelaki dan wanita sekolah berkenaan berjaya menjuari kedua-dua ketegori tersebut.

“Pada awal September ini, kedua-dua pasukan juara akan bersaing pada peringkat kebangsaan yang akan melibatkan 13 buah negeri dan tiga pasukan terbaik akan dipilih untuk menyertai pertandingan peringkat akhir di Melaka.

“Bagi pasukan TKRS pula, walaupun mereka gagal memenangi pertandingan hari ini tetapi tidak bermakna perjalanan mereka terhenti di sini.

“Mereka akan menyertai pertandingan kawad kaki Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini dan mereka merupakan satu-satunya kumoulan dari sekolah rendah yang mengambil bahagian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Penolong Kanan Kokurikulum SK Sungai Rambai berkata penat jerih jurulatih dan pelajar berbaloi apabila SK Sungai Rambai dinobatkan sebagai johan bagi kategori TKRS Putera hari ini.

Katanya, kejayaan tersebut tidak akan dicapai tanpa sokongan berterusan daripada ibu bapa pelajar serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah sejak lima bulan lalu.

“Paling penting adalah semangat jati diri yang kuat ditunjukkan oleh para pelajar untuk mencapai kejayaan demi membanggakan nama sekolah.

“Harapan kami para guru adalah supaya pelajar terus melalukan yang terbaik dan terus mencipta kejayaan pada pertandingan akan datang,” katanya.

Guru akademik SK Sungai Batu, Zahratul Jannah Bashir Ahmed pula berkata persaingan pada peringkat negeri adalah lebih sengit berbanding peringkat daerah sebelum ini

Namun beliau tetap bersyukur apabila SK Sungai Batu sekali lagi berjaya menjadi johan bagi pertandingan kawad kaki bagi kategori TKRS Puteri.

Beliau berkata, pengorbanan para pelajar dan guru yang menjalani latihan tanpa henti pada setiap hari termasuk hujung minggu akhirnya membuahkan hasil.

“Tahun lepas kami hanya menduduki tempat ketiga dan tahun ini kami bangkit semula dan teruskan usaha dengan niat untuk menjadi johan pada peringkat daerah dan dipilih ke peringkat negeri.

“Kami yakin dengan kemampuan pelajar dan berkat usaha dan izin Allah kami dipilih sebagai johan peringkat negeri dan layak ke peringkat kebangsaan,” jelasnya.

Difahamkan, hanya lima buah sekolah telah dipilih bagi setiap kategori, yang mana setiap daripada mereka merupakan juara bagi pertandingan kawad kaki peringkat daerah yang telah dianjurkan sebelum ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR