SJKC Min Sin ketepi cabaran sekolah menengah, juara kawad Hari Kebangsaan

dsc 2516 2

MUNCUL juara kawad kaki sempena Hari Kebangsaan Kali Ke-67 Peringkat Negeri Pulau Pinang merupakan satu pencapaian terbaik bagi Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin.

 

Manakan tidak, TKRS SJKC Min Sin berjaya menewaskan 13 sekolah lain yang juga terdiri daripada sekolah menengah.

 

Ditubuhkan pada tahun 2017, kini TKRS SJKC Min Sin dianggotai seramai 93 orang murid dan dibimbing oleh gurunya, ANG AIK FUNG dalam memastikan formasi TKRS berada pada landasan tepat.

 

“Sejujurnya kami tidak menjangka akan menang perbarisan kawad Hari Kebangsaan tahun ini kerana sudah tahu saingan sengit terutamanya daripada sekolah peringkat menengah.

 

“Namun dengan kegigihan, disiplin dan ketabahan telah membawa kejayaan kepada TKRS SJKC Min Sin.

 

“Selain itu, pengorbanan wira dan wirawati sekolah, termasuk sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa pelajar juga menjadi  tonggak kepada kejayaan ini,” ujar Aik Fung ketika menerima kunjungan temu bual penulis Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, SIEW CHIA EN di  sekolah tersebut baru-baru ini.

 

Menyingkap resipi kejayaan anak-anak buahnya, Aik Fung menaruh kepercayaan sepenuhnya  kepada platun TKRS untuk memberikan persembahan terbaik pada 31 Ogos lalu.

 

“Saya juga tidak meletakkan tekanan kepada mereka, saya motivasikan mereka bahawa persembahan mereka sangat baik.

 

“Pengorbanan mereka juga ditagih hampir setiap hari kira-kira dua jam dengan cuaca yang tidak menentu, namun mereka bersemangat ketepikan semua itu untuk capai satu tahap disiplin kawad yang tinggi,” jelas Aik Fung lagi.

 

Sebelum ini, TKRS SJKC Min Sin turut berjaya muncul juara pada Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Sekolah Rendah Peringkat Negeri Pulau Pinang.

dsc 8231 2

Kejayaan tersebut telah melayakkan TKRS Min Sin untuk bersaing pada peringkat saringan melalui video sebelum ke pertandingan sebenar secara fizikal sekiranya layak.

 

Hadir sama, Guru Besar SJKC Min Sin, Lim Yin Chao; Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Lee Zheng Yong dan wakil ibu bapa, Joey Wong.