BATU MAUNG – Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai yang terpilih antara 10 sekolah terbaik dunia dalam pertandingan World Best School Prizes (WBSP) bakal menerima sumbangan peruntukan RM160,000 bagi tujuan naik taraf kemudahan institusi pendidikan berkaitan.
Perkara tersebut diumumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang mana masing-masing bakal menyalurkan peruntukan berjumlah RM80,000.
Dalam pertandingan WBSP itu, SK Seri Permai diumumkan sebagai antara 10 sekolah terbaik dunia melalui projek inovasi Smart n Easy Table 2.0 (SnET 2.0) iaitu implimentasi dan solusi bagi menangani isu beg berat murid sekolah di Malaysia dan juga dunia.
“Guru besar (Mohammad Sabarullah Shaik Ismail) pun sudah membangkitkan isu (kemudahan dewan serta ruang menunggu) dan mendapat perhatian Ahli Parlimen yang turut memaklumkan kepada saya untuk memberikan peruntukan sebanyak RM80,000.
“Oleh itu, saya juga mengambil kesempatan ini mengumumkan untuk menyahut keperluan SK Seri Permai dengan mengumumkan peruntukan sejumlah RM80,000,” ujarnya pada Majlis Meraikan Kejayaan SK Seri Permai Tersenarai Antara 10 Sekolah Terbaik Dunia Menerusi Pertandingan WBSP di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Barat Daya, Shamsul Fairuz Mohd. Nor; Mohammad Sabarullah dan barisan guru SK Seri Permai.
Kon Yeow dalam pada itu menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Mohammad Sabarullah, barisan penolong kanan, jawatankuasa kerja dan seluruh warga sekolah berkaitan yang bekerja keras dan bertungkus lumus menjayakan projek Smart n Easy Table 2.0 sehingga terpilih sebagai 10 sekolah terbaik dunia meskipun terhambat dengan tugasan-tugasan lain.
“Ini merupakan satu masalah yang sudah dihadapi berpuluh-puluh tahun yang mana setiap tahun, kita akan baca dalam media bahawa terdapat usaha untuk menangani isu ini, tetapi usaha-usaha sebelum ini mungkin belum sempurna.
“Justeru, saya berharap projek inovasi hasil kolaborasi beberapa pihak yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa ini akan menuju ke pencapaian yang lebih cemerlang iaitu ‘top 3’ dan pada penghujung tahun akan dipilih sebagai nombor satu dalam dunia,” serunya yang juga ADUN Padang Kota.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : SIEW CHIA EN