Skate Plaza Taman Tuna penuhi keperluan belia minati sukan lasak

Admin

SEBERANG JAYA – Golongan belia yang meminati aktiviti sukan lasak kini pastinya teruja apabila pembinaan Skate Plaza Taman Tuna, di sini yang mula dibina sejak akhir tahun lalu telahpun siap sepenuhnya.

Pa’Din Musa (kanak) legenda skate board antara bakat yang berjaya dilahirkan di Seberang Perai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, pembinaan Skate Plaza di atas tanah Kerajaan Negeri berkeluasan 1,872 meter persegi itu adalah bagi memenuhi keperluan belia yang meminati aktiviti sukan lasak.

“Syukur kerana impian Seberang Jaya (penduduk) untuk mempunyai Skate Plaza sendiri akhirnya tercapai dengan bantuan semua pihak.

“Skate Plaza ini adalah hasil inisiatif peminat sukan lasak yang mengadakan perbincangan bersama dengan saya dalam usaha mewujudkan satu taman rekreasi khas bagi aktiviti sukan lasak.

“Untuk makluman, semua sukan lasak seperti ‘skate boarding’ dan juga sukan BMX telah lama bertapak di Seberang Jaya iaitu di Taman Tuna yang menjadi tempat anak-anak muda mengisi masa lapang sehingga berjaya melahirkan legenda ‘skate board’ Asia, Pa’din Musa,” katanya semasa merasmikan Skate Plaza Taman Tuna, pada 4 Mei lalu.

Antara aksi ditunjukkan oleh para peserta pertandingan BMX sempena pelancaran Plaza Skate Taman Tuna baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai, Shuhada Abdul Rahim dan Bernard Cheen Goon Hooi; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Tenggiri, Mohd. Khadari Mohd. Salleh serta komuniti setempat.

Sementara itu, Rosnani dalam ucapannya memaklumkan bahawa kos pembinaan dan menaik taraf taman rekreasi berkenaan adalah dibiayai melalui peruntukan MPSP berjumlah RM149,638

“Skate Plaza ini adalah pertama di Seberang Perai yang disediakan khusus oleh MPSP untuk golongan muda.

“Ini membuktikan bahawa MPSP memandang berat kehendak penduduk yang selari dengan visi Penang2030 yang diilhamkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow,” ujarnya lagi.

Rupa bentuk Skate Plaza Taman Tuna yang telah siap dinaik taraf.

Difahamkan, selain komponen-komponen utama seperti “quarter pipe ramp, piramid, rail dan stage’, turut dinaik taraf adalah laluan pejalan kaki sepanjang 200 meter bagi kemudahan penduduk setempat.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF