GEORGE TOWN – Sebanyak RM404,260 telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri di bawah Tabung Bencana Negeri bagi membantu mereka yang terjejas dengan kejadian bencana yang berlaku di negeri ini.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, jumlah tersebut adalah membabitkan semua mangsa bencana di kelima-lima daerah di negeri ini mulai 1 Januari sehingga 15 Oktober 2024.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga mendapat sokongan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Semasa berlakunya bencana, JKM melalui Dasar Bantuan Negeri menyediakan Bantuan Pemulihan Bencana yang boleh dipertimbangkan untuk membantu mangsa bencana pulih daripada kesan bencana tersebut.
“Jumlah maksimum Bantuan Pemulihan Bencana bagi satu keluarga ialah RM10,000 dengan syarat kelayakan adalah warganegara dan bermastautin di Negeri Pulau Pinang serta pendapatan isi rumah sebulan tidak melebihi RM 5,000,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusoff dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 dekat sini sebentar tadi.
Siew Khim berkata, Kerajaan Negeri juga telah membelanjakan sejumlah RM99,000 bagi bantuan pemulihan bencana membabitkan kelima-lima daerah di negeri ini bagi tempoh masa yang sama.
Katanya, bantuan tersebut adalah melibatkan bencana seperti banjir, ribut dan kebakaran.
“Bantuan yang boleh dipertimbangkan adalah bantuan sekolah, pakaian, bantuan keluarga dan barangan keperluan dan bantuan membaiki rumah.
“Selain itu, melalui Dasar Bantuan Negeri, terdapat Tabung Bantuan Segera Negeri (TBSN) yang diberikari secara sekali bayar (one-off) kepada mangsa yang mengalami bencana kecil.
“Kadar bayaran maksimum adalah RM500 yang boleh diberikan dalam bentuk tunai atau barangan.
“Permohonan bantuan boleh dibuat melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di kawasan bencana itu berlaku.
“Mangsa diwajibkan membuat laporan polis terlebih dahulu untuk tujuan permohonan,” jelasnya yang juga ADUN Sungai Pinang.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS