Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah, khusus untuk ibu tunggal di Parlimen Tanjong

Admin
hari ibu

GEORGE TOWN – Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bertujuan menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada ibu tunggal yang menguruskan rumah tangga sendirian sama ada secara sepenuh masa ataupun separuh masa.

hari ibu 2
LIM Hui Ying.

Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying berkata, pelaksanaan skim tersebut adalah khusus untuk ibu tunggal di sekitar kawasan Parlimen Tanjong.

“Skim ini mendapat sokongan daripada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim (Chee Keong), yang mana setakat ini kami telah menerima 150 kad caruman SKSSR bernilai RM120 setiap satu yang akan menampung perlindungan selama setahun .

“Pengedaran kad-kad ini akan melalui tiga pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) iaitu Padang Kota, Komtar dan Pengkalan Kota dengan menyasarkan kepada ibu tunggal yang layak sahaja,” katanya pada sidang media pagi ini di Pasar Chowrasta.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota; Wong Yue Harng; Pegawai Pusat Khidmat ADUN Padang Kota, Ewe Chee Wei; Ahli Majlis kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Benji Ang Ming Quan dan ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Kewangan memaklumkan bahawa setelah pejabat KADUN mengenal pasti senarai 150 ibu tunggal yang layak, maklumat mereka akan dihantar kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pengesahan kelayakan.

“Kami akan memberi penjelasan terperinci mengenai faedah-faedah yang dapat diperoleh melalui kad caruman ini pada 25 Mei ini bertempat di Dewan Pusat Penang2030 KADUN Komtar.

“Kami berharap dengan pelaksanaan program ini dapat memberi bantuan yang diperlukan kepada ibu tunggal di Tanjong.

“Semoga usaha ini akan memberikan sedikit kelegaan dan penghargaan kepada mereka pada Hari Ibu ini, sebagai tanda penghargaan kepada peranan penting mereka dalam keluarga dan masyarakat,” tambahnya.

Terdahulu, sempena sambutan Hari Ibu yang disambut hari ini di sini, Hui Ying meluangkan masa kira-kira sejam untuk mengedar 700 kuntuman bunga teluki kepada semua pengunjung wanita dan para ibu di sekitar kawasan Pasar Chowrasta.

Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY