Skim SIMP Silicon Island; 680 nelayan terima bayaran penuh ex-gratia

Admin
94fbd6f0 aace 4a18 8339 f0b67dec9282

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyalurkan sebanyak RM10,079,390 bayaran ex-gratia ke akaun nelayan yang berdaftar untuk Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) bagi projek Silicon Island setakat ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Azrul Mahathir Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas berkata, daripada 877 nelayan yang berdaftar, seramai 680 nelayan telah menerima bayaran penuh mengikut kelayakan tahap dan kategori masing-masing.

 

938d0a7c 6bdb 4114 a179 62e0bdc64d1a
DATO’ Azrul Mahathir semasa sesi ucaptama baru-baru ini.

“Sebagai makluman, jumlah tersebut turut termasuk 133 nelayan yang terlepas dari senarai asal Jabatan Perikanan, tetapi telah diluluskan setelah rayuan dikemukakan.

“Sehubungan itu, proses pembayaran masih lagi diteruskan untuk baki nelayan yang sedang mengemas kini dokumen sokongan mereka,” ujarnya semasa merasmikan Mesyuarat Tahunan Kedua Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Berhad (KKPPSB) dekat sini 3 Ogos lalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC) Sdn. Bhd., Dato’ Seri Farizan Darus; Pengarah Komunikasi Strategik dan Pengurusan Pihak Berkepentingan Silicon Island Development Sdn. Bhd., Azmi Mohamad dan wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Pulau Pinang, Mohamed Fahrurazi Mohamed Nor.

97b308df 016c 4f0e ab54 432c6ff6226fMengulas lanjut, Azrul Mahathir memberitahu bahawa Kerajaan Negeri juga memberi bantuan pendidikan dan latihan untuk anak-anak nelayan melalui skim SIMP.

“Seramai 62 anak nelayan telah menyertai Program Jaya Didik dengan kerjasama pusat-pusat tuisyen, antaranya termasuk Program Jaya Didik (Subsidi Tuisyen), Program Intensif (Hybrid Pendidikan) dan Program Hadiah Kemasukan dan Kecemerlangan.

“Selain itu, sebanyak 50 Hadiah Kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Hadiah Kecemerlangan telah dianugerahkan kepada anak nelayan yang melanjutkan pelajaran serta cemerlang dalam pelajaran.

97b308df 016c 4f0e ab54 432c6ff6226f“Justeru, adalah menjadi harapan saya agar inisiatif yang diperkenalkan dapat membantu anggota-anggota koperasi untuk terus berkembang maju, meningkatkan kemahiran dan memanfaatkan peluang-peluang baru yang muncul dalam sektor ekonomi yang kian mencabar kini,” katanya.

Selain itu, tambah Azrul Mahathir lagi, sebanyak 1,361 kontrak bernilai RM295 juta berkaitan projek Silicon Island telah diberikan kepada peniaga tempatan membabitkan seramai 373 pekerja tempatan yang mana 169 individu ialah rakyat Pulau Pinang.

Serentak majlis itu juga, Azrul Mahathir melapangkan masa menyampaikan anugerah khas kecemerlangan dan hadiah kemasukan kepada anak-anak nelayan yang berkelayakan. Turut sama disempurnakan adalah penyerahan kunci replika dan pukat kepada Unit Nelayan Permatang Tepi Laut yang bakal menerima bot serta enjin baharu.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT