Skim Usahawan Bumiputera Nasir Soya buka peluang niaga anak muda – Diar

MOHD. Zainuddiar Yusof atau Diar menjelaskan proses penghasilan air soya di kilangnya.
MOHD. Zainuddiar Yusof atau Diar menjelaskan proses penghasilan air soya di kilangnya.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

 

SELAGI tidak capai sasaran keuntungan ditetapkan dirinya, Pengarah Syarikat Nasir Soya HKP Sdn. Bhd. (Nasir Soya), Mohd. Zainuddiar Yusof, 35, tidak akan menganggap dirinya sebagai usahawan berjaya.

 

Baru empat tahun mengambil alih pengurusan serta perniagaan  Nasir Soya yang mempunyai sejarah lebih 20 tahun di pasaran tempatan, Mohd. Zainuddiar Yusof atau lebih dikenali sebagai Diar berkongsi pengalaman awal penglibatan beliau dalam bidang berkaitan dengan Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara baru-baru ini.

 

“Mula-mula ambil alih, rasa nak nangis. Kena beli semua sendiri menggantikan peralatan-peralatan lama sedia ada.

 

“Tidak boleh bayangkan betapa susah dan seksanya. Tambahan pula, permohonan pinjaman semuanya tak dapat!” tegasnya dalam nada kesal.

 

Mengulas lanjut, Diar mempersoalkan ke manakah perginya peruntukan-peruntukan pinjaman bagi membantu usahawan-usahawan Bumiputera dalam negara.

 

“Kami pohon skim subsidi pada tahun 2014, tapi dimaklumkan bahawa pihak berkaitan baru lulus permohonan-permohonan untuk tahun 2011 dan 2012 sebelumnya.

 

“Usahawan-usahawan kecik kalau nak tunggu bantuan, pasti sudah lingkup dulu! Ditambah pula dengan tempoh peralihan dua tahun yang perlu dipatuhi setiap pemohon,” nyata beliau.

 

KACANG soya yang diimport dari Kanada dan Amerika Syarikat.
KACANG soya yang diimport dari Kanada dan Amerika Syarikat.

Walaupun kecewa, cabaran tersebut tidak sama sekali mematahkan semangat Diar untuk meneruskan impiannya. Beliau dan keluarga kemudian menjual beberapa aset sebagai modal permulaan perniagaan air soya yang dianggapnya amat berpotensi dan menguntungkan.

 

Mempraktikkan kemahirannya sebelum ini, Diar yang memiliki latar belakang dalam bidang import dan eksport berjaya meletakkan nama Nasir Soya sebagaimana sebelum ini kini.

 

“Saya dan keluarga beli ‘Nasir Soya’ setelah mendapat berita bahawa Datuk Nasir ingin menjualnya iaitu pada empat tahun lalu. Nasir Soya dijual sekali dengan formula asas pembuatannya.

 

“Namun, itu cuma formula asas, kami cuba buat, namun rasanya lain iaitu kurang kesedapan dan kelemakannya.

 

“Kami cuba dan cuba lagi, akhirnya berjaya selepas dua hingga tiga bulan. Masa tu, baru ada rasa soya dan boleh dipasarkan,” jelas Diar.

 

Dibantu oleh adik ipar beliau, Ahmad Syaufiq Abd. Hamid yang merupakan pengarah urusan syarikat, rutin penghasilan soya adalah bermula pada jam 12 tengah malam hingga 5 pagi setiap hari.

AHMAD Syaufiq Abd. Hamid menunjukkan tanda bagus sambil menunjukkan produk keluaran syarikatnya.
AHMAD Syaufiq Abd. Hamid menunjukkan tanda bagus sambil menunjukkan produk keluaran syarikatnya.

 

Ketika diajukan soalan apakah keunikan soya buatannya, tiada jawapan diberikan Diar, sebaliknya, beliau hanya menyerahkan satu beg besar soya yang telah siap diproses dan ‘memaksa’ kami balik merasainya sendiri.

 

Meneruskan perbualan, Diar menyatakan bahawa kandungan air soya keluaran syarikatnya adalah 100 peratus soya dan air. Tambahan kandungan gula adalah bergantung kepada permintaan pelanggan. Sebaliknya, bagi soya biasa, kandungan soya hanyalah kira-kira 10 hingga 15 peratus sahaja.

 

“Itu saya memang boleh bagi jaminan. Malah, air soya saya juga lebih tahan lama kerana segar dan tiada bahan pengawet.

 

“Sekiranya nak tahan lagi lama, tambah satu jag ais dalam soya, masuk dalam chiller, boleh tahan sampai lima hari,” ujarnya sambil menjelaskan bahawa air soya buatan beliau adalah distim dengan air dan bukannya dibakar menggunakan dapur yang mana ia akan menyebabkan bau kurang menyenangkan.

 

Mengulas mengenai cabaran dalam bidang berkaitan, Diar tidak menafikan bahawa saingan daripada peniaga-peniaga kecil adalah sentiasa wujud.

 

“Selalunya, akan ada peniaga yang gunakan nama Nasir Soya untuk memasarkan produk masing-masing, namun, kami sebagai pemegang jenama tidak mengambil tindakan terhadap golongan-golongan ini kerana percaya ia adalah kuasa Allah.

 

“Cuma seperkara, saya harapkan agensi-agensi kerajaan dapat bantu dari segi peluang dan juga kewangan usahawan-usahawan yang ingin berkecimpung dalam bidang ini.

 

“Bagilah peluang dan setidak-tidaknya khidmat nasihat. Kerana sebagai orang baru, kami (usahawan) memerlukan network dan sokongan daripada mereka (agensi),” kata Diar yang mana pihaknya turut mewujudkan Skim Usahawan Bumiputera Nasir Soya kepada anak-anak muda yang ingin serta mencari peluang bergiat dalam bidang perniagaan.

 

Melalui Skim Usahawan Bumiputera Nasir Soya, pihak Diar akan membekalkan semua peralatan contohnya bekas, kaki gerai dan lain-lain.

 

“Kami cuma collect RM10 sehari, habis bayaran, individu berkaitan boleh mengambil semua kelengkapan untuk meneruskan perniagaan masing-masing. Sehingga kini, memang ada beberapa yang berjaya.

 

“Sebaliknya, walaupun berhadapan dengan kes-kes barang hilang, kami tidak putus harapan disebabkan keinginan membantu masyarakat yang nak berniaga terutamanya anak-anak muda yang suka lepak,” seru Diar.

 

Mengulas lanjut, Diar memberitahu bahawa asam garam dalam bidang perniagaan adalah begitu sinonim dengan masalah pekerja.

 

“Susah nak cari (pekerja) yang betul-betul ada integriti dan bersikap positif. Kalau tidak cukup kakitangan dan ada yang tiba-tiba ‘sakit’ atau tak boleh datang, kami terpaksa turun padang sendiri, masa tu, appoinment tak jalan, sales pun akan drop.

 

“Ada juga ketikanya saya terpaksa bawa motor hantar soya-soya yang ditempah,” jelas beliau yang masih belum terlintas untuk menggaji pekerja asing.

 

Sebagai perancangan masa depan, adalah menjadi harapan Diar untuk membotolkan produk-produk keluarannya.

 

“Kini dalam proses. Pasaran yang difokuskan adalah di asrama-asrama,” ujar Diar yang berpandangan jauh demi impian mencapai matlamat dalam perniagaan beliau.

 

INFO :

Nasir Soya HKP Sdn. Bhd.

3, Lintang Bayan Lepas 6,

Taman Perindustrian Bayan Lepas,

Fasa 4, 11900 Bayan Lepas.

04 – 646 6121 / 017 – 424 1045

[email protected]

 d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);