SKMM rakan strategik teroka lagi potensi pelaburan digital negeri, kata Ketua Menteri

KETUA Menteri (kanan) menerima cenderamata semasa kunjungan hormat Mohd. Khairilnaim Osman di pejabatnya dekat Komtar pada 29 September 2023.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat menjadi rakan strategik bagi meneroka lagi potensi pelaburan berkaitan industri digital di negeri ini.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian di pejabatnya semasa menerima kunjungan hormat Pengarah SKMM Negeri yang baharu, Mohd. Khairilnaim Osman.

“Di Pulau Pinang dari segi pelaburan digital juga merupakan satu perkara yang kita nak teroka, dan pastinya pada aspek industri juga sememangnya perkhidmatan internet dan sebagainya adalah penting.

“Dari segi kekangan infrastruktur, SKMM akan menjadi rakan strategik kita (Kerajaan Negeri untuk) bekerjasama dengan agen perdagangan untuk membangunkan kawasan-kawasan perdagangan (secara digital) ini.

“Kalau boleh tidak ada gangguan walau sekejap pun sebab banyak sektor perniagaan dan pelaburan sangat bergantung kepada perkhidmatan ini untuk memantapkan operasi (mereka pada peringkat lokal dan) antarabangsa,” jelasnya sambil mengalu-alukan kunjungan hormat delegasi SKMM negeri.

Empat Timbalan Pengarah SKMM Negeri Pulau Pinang, Alif Munir Md. Tadmizi; Fadhil Hanafi Mohd. Nordan; Mohd. Rashdi Hasan, Hanisah Hashim dan Penolong Pengarahnya, Muhammad Akmal Che Rose turut sertai delegasi tersebut.

KETUA Menteri (tengah) diiringi Nur ‘Aishah Md. Norodin (empat dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama-sama delegasi SKMM Negeri Pulau Pinang di sini pada pagi tadi.

Pada majlis sama, Setiausaha Bahagian bagi Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Nur ‘Aishah Md. Norodin memberitahu bahawa di negeri ini telah ada Garis Panduan Inisiatif Telekomunikasi Negeri berdasarkan Garis Panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), 2012.

“Semasa menjadi Exco Kerajaan Tempatan, YAB (Kon Yeow) sendiri mengetuai inisiatif untuk mewujudkan satu garis panduan berkaitan pada tahun 2015 yang mana semua peserta telekomunikasi tidak perlu lagi dikecualikan Permohonan Kebenaran Merancang ke peringkat Kerajaan Tempatan (sebaliknya) terus pada Pelan Bangunan

“Maka, di Pulau Pinang kita dapat lihat tidak perlu mendapatkan ulasan dari lot berjiran,” ujarnya.

Hasil daripada polisi baharu yang digerakan oleh Kon Yeow itu, beliau berkata pada tahun 2018 menyaksikan kadar kelajuan capaian internet adalah 18 megabait sesaat (Mbps) dan kini lebih 50 Mbps.

“Maksudnya, berdasarkan pelan dan insiatif itu, kita berjaya meningkatkan capaian (kadar kelajuan internet) di Pulau Pinang,” ulasnya.

Di samping itu, Nur ‘Aishah memberitahu bahawa di bawah pentadbiran Kon Yeow kini menyaksikan 90 peratus transaksi yang melibatkan sektor perkhidmatan melibatkan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah secara tanpa tunai.

Sebelum itu, Mohd. Khairilnaim selama kira-kira 20 minit membentangkan peranan hakiki SKMM Pulau Pinang serta harapannya untuk menjadi rakan strategik kepada Kerajaan Negeri serta semua pemegang taruh dalam industri digital negeri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD