Skuad catur lengkapkan misi 40 pingat emas Pulau Pinang di Sukma ke-21

img 20240824 151006 796

KOTA SAMARAHAN – Misi Kontinjen Pulau Pinang untuk membawa pulang 40 pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 akhirnya tercapai menerusi acara catur yang berjaya meraih dua pingat emas pagi ini.

Terdahulu, pemain catur muda Pulau Pinang, Poh Yu Tian sekali lagi berjaya meraih pingat emas, yang merupakan pingat emas kedua peribadinya di Sukma ke-21 di Sarawak.

Kemenangan tersebut hadir selepas dia berjaya mengungguli acara Blitz individu lelaki dalam acara yang berlangsung dekat Dewan Jubli UiTM Kota Samarah di sini sebentar tadi.

Chua Jia-Tien kemudian melengkapkan misi Pulau Pinang untuk membawa pulang 40 pingat emas dengan bergaya apabila disahkan sebagai pemenang pingat emas bagi kategori Blitz individu wanita.

Semalam, skuad catur Pulau Pinang juga telah menyumbangkan dua pingat emas menerusi Chua Jia Tien dan Sim Jia Ru dalam acara Rapid wanita.

img 1354img 20240824 154345 646img 20240824 154351 338img 20240824 154503 697img 20240824 154524 503

Ketua Kontinjen (CDM) Sukma Negeri Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata walaupun berdepan pelbagai cabaran dan rintangan namun semangat juang yang tinggi telah ditunjukkan oleh barisan atlet negeri adalah sangat mengagumkan.

Justeru, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi membawa pulang 40 pingat emas pada temasya sukan berprestij, Sukma ke-21 di Sarawak.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), persatuan-persatuan sukan negeri, pengurus pasukan, jurulatih serta para atlet yang telah bertungkus lumus berjuang sepenuh hati bagi merealisasikan sasaran dan pencapaian yang membanggakan ini.

“Kekentalan dan semangat tidak berputus asa yang ditunjukkan oleh para atlet, meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang temasya berlangsung amatlah dikagumi,” katanya dalam kenyataan.

Zi Sen turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak selaku tuan rumah bagi penganjuran Sukma ke-21.

“Terima kasih juga kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak yang merupakan agensi Bapa Angkat kepada Kontinjen Sukma Negeri Pulau Pinang,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan Kesihatan menyeru agar rakyat Pulau Pinang supaya memberikan sokongan kepada atlet-atlet negeri yang masih berjuang bagi menambah kutipan pingat.

“Kontinjen Sukma Negeri Pulau Pinang masih meneruskan cabaran untuk menambah pungutan pingat dalam acara-acara sukan akhir yang sedang berlangsung pada ketika ini.

“Kami berharap agar warga Pulau Pinang dapat terus melaungkan sokongan padu kepada atlet-atlet yang sedang berentap untuk terus melakar kejayaan sebelum tirai penutup dilabuhkan pada malam ini,” katanya.

Setakat jam 2 petang ini, Kontinjen Pulau Pinang telah mengumpul 40 pingat emas, 39 perak dan 50 gangsa dan boleh disifatkan sebagai pencapaian yang terbaik setakat ini.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN