SMK Convent Butterworth, SJKC Mak Mandin johan Anugerah Sekolah Hijau 2022

Admin

GEORGE TOWN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Butterworth dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mak Mandin muncul johan Anugerah Sekolah Hijau 2022 dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 beserta sijil penyertaan dan trofi.

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh berkata, Anugerah Sekolah Hijau yang dianjurkan oleh Penang Green Council (PGC) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) merupakan salah satu inisiatif menggalakkan pengurusan alam sekitar secara holistik.

“Secara tidak langsung pendidikan alam sekitar dapat ditingkatkan dan mampu mewujudkan suasana sekolah yang kondusif bagi melahirkan warga sekolah yang mempraktikkan amalan hidup lestari.

“Sikap cintakan alam sekitar perlu diwujudkan sejak awal usia, justeru penglibatan dan sambutan yang diberikan oleh sekolah-sekolah yang terlibat amat dihargai, syabas juga diucapkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang turut memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini,” ujarnya pada majlis penganugerahan berkaitan di Komtar baru-baru ini.

PEMENANG sempat bergambar kenang-kenangan bersama barisan penganjur dan guru pengiring.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pengurus Besar PGC, Josephine Tan Mei Ling; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Abdul Latiff Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Kewangan PBAPP, Dr. Mary Ann Harris dan wakil Toray (Malaysia), Dato’ Teh Hock Soon.

Sementara itu, Mei Ling ketika menyampaikan ucapan alu-aluan turut menyatakan bahawa sejak program ini mula diadakan, dapat dilihat banyak pihak tertarik dengan konsep cintakan alam sekitar.

“Penting untuk mengajar anak-anak kita tentang aspek kepentingan alam sekitar, oleh itu kita harus menyediakan alat kelengkapan kepada mereka agar dapat memulihara serta memelihara dengan baik.

“Masih belum terlambat untuk memulakannya dari sekarang kerana setiap insan mampu membuat perubahan dengan syarat harus sentiasa komited dan atur langkah dengan baik.

“Justeru, masa depan kita bergantung pada tindak-tanduk sendiri, saya ingin menyeru umum untuk bertindak sekarang sebelum terlambat, dan inilah sebabnya kita semua berada di sini hari ini dengan misi yang sama,” jelasnya lanjut.

Difahamkan, sebanyak 114 sekolah iaitu 44 sekolah dari pulau dan 70 (Seberang Perai) menyertai program berkaitan. Hanya enam sekolah telah dipilih sebagai pemenang untuk kategori yang berbeza serta memenangi hadiah wang tunai beserta trofi khas yang diperbuat daripada bahan kitar semula.

GIMIK pelancaran logo Anugerah Sekolah Hijau 2023 yang diadakan baru-baru ini

Seusai sesi penyampaian hadiah, gimik pelancaran Anugerah Sekolah Hijau bagi sesi 2023 juga dilancarkan dan Toray Industries (Malaysia) Sdn. Bhd. (Toray) bakal menjadi penganjur penganugerahan berkaitan.

Mendukung misi sama, Toray turut menganjurkan Pertandingan Kitar Semula Toray &+ (And Plus) 2023 Pulau Pinang yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan berjumlah RM20,000.

KEPUTUSAN JURI :

Anugerah Sekolah Hijau 2022

Kategori SK : SJKC Mak Mandin (johan), SK Balik Pulau (naib johan)

Kategori SMK : SMK Convent Butterworth (johan), SMK Convent Pulau Tikus (naib johan)

Barisan pemenang bagi kategori:

Kecekapan sumber asli : SJKC Sin Chung & SMK Convent Pulau Tikus

Inovasi dan kreativiti : SJKC Perempuan Cina & SMK Berapit

Kebersihan dan penghijauan : SK (P) Methodist & SMK Jelutong

Penglibatan digital/komuniti : SJKC Mak Mandin & SMK Convent Butterworth

Green Kindy Incentive 2022 : Prasekolah SK Bukit Gelugor, Prasekolah Wawasan SJKC Mak Mandin, Prasekolah SK Sg Batu, Tadika Seri Comel Nibong Tebal, Prasekolah SJKT Bayan Lepas, Prasekolah SJKT Bukit Mertajam, Tadika Genius Dinamik, Tadika Buddhist Tzu Chi (Jln Macalister), D’Monte Child Care and Development Centre (Tmn Sri Nibong), Tadika Persatuan Murid-Murid Tua Sekolah Lee Chee.

Pemenang Aquasave 2022 : SJKT Bayan Lepas, SJKC Sin Chung, SJKC Perempuan Cina, SK Seri Gemilang, SK (P) Methodist, SK Taman Impian, SJKC Pulau Betong, SJKC Mak Mandin, SMK Convent Pulau Tikus, SMK Bakti, SMK Berapit, SMK Jelutong, SMK Guar Perahu, SMK Convent Pulau Tikus, SK Balik Pulau.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING