SMK Kampong Kastam, SJK(C) Union julang Anugerah Sekolah Hijau 2024

Admin
4e71f15b 6501 4f9f 9844 130bc310c524

GEORGE TOWN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Kastam dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Union menjulang Anugerah Sekolah Hijau 2024 selepas diumumkan sebagai johan masing-masing bagi kategori sekolah menengah dan sekolah rendah.

Kedua-dua sekolah tersebut berjaya menewaskan 94 buah sekolah lain yang menyertai Anugerah Sekolah Hijau 2024 dan Pertandingan Kitar Semula Toray &+ 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang

Berucap sebelum itu pada majlis penyampaian anugerah berkaitan, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo menzahirkan ucapan tahniah kepada para pemenang .

872721fa 665f 4730 aa44 354cc785bac4Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran program berkaitan memberi impak jangka panjang dalam memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2010, program ini telah mencatatkan peningkatan penyertaan yang mana penyertaan tertinggi adalah pada tahun 2018, melibatnya sebanyak 241 sekolah keseluruhannya.

“Tidak dinafikan pertandingan ini semakin kompetitif dan kita sedang mencipta impak yang besar dalam melindungi alam sekitar khususnya untuk generasi masa hadapan.

“Sebagai contoh, pencapaian alam sekitar yang terkini adalah melalui kempen ‘Pulau Pinang Tanpa Beg Plastik Setiap Hari 2025’ yang telah dilancarkan pada 14 Februari 2025.

“Kempen ini melibatkan tempoh pendidikan selama enam bulan bermula 1 Mac sehingga 31 Ogos 2025 bagi memberi ruang kepada peniaga dan orang ramai untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu,” ujarnya sambil memaklumkan bahawa penguatkuasaan sepenuhnya akan bermula pada 1 September 2025 nanti.

Hadir sama, Pengurus Besar Penang Green Council (PGC), Josephine Tan Mei Ling; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota merangkap Ahli Lembaga Pengarah PGC, Wong Yuee Harng; Ketua Wakil Toray Malaysia, Datuk Teh Hook Soon serta dif-dif kehormat lain.

e98a544d 63f3 45f3 9541 30ea3d8aa61fSementara itu, Mei Ling dalam ucapannya turut memaklumkan bahawa Anugerah Sekolah Hijau bakal diperkenalkan dengan Sistem Penarafan Bintang Sekolah Hijau untuk tahun 2025.

“Semasa kita melangkah ke fasa baharu ini, sistem yang ditambah baik ini akan berasaskan tiga tonggak utama iaitu pertama, menggalakkan pelajar untuk memimpin dalam inisiatif hijau.

“Keduanya, menyediakan alat dan sumber untuk guru-guru bagi mengintegrasikan kelestarian dalam kurikulum sekolah.

“(Dan) ketiga adalah mengukuhkan hubungan antara sekolah dengan komuniti bagi mewujudkan impak kolektif.

“Saya yakin bahawa sistem baharu ini akan memastikan sekolah terus berinovasi dan cemerlang sekali gus menetapkan penanda aras untuk kelestarian alam sekitar dalam pendidikan,” katanya lanjut.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Kampong Kastam, R. Sugumaran Rajendran, dan Guru Besar SJK(C) Union, Loh Meng Yim ketika ditemui teruja dan menganggap bahawa kejayaan tersebut sebagai pengiktirafan terhadap hasil usaha kolektif para guru, kakitangan, dan pelajar dalam memupuk budaya alam sekitar yang kukuh.

6ef6193b d7c0 423b bcd3 213aa924f6e5Bagi Sugumaran Rajendran, inisiatif hijau yang dilaksanakan di sekolah mereka bukan sekadar untuk memasuki pertandingan tetapi telah disemai dan sebati dalam diri setiap pelajar dan guru-guru.

“Kelestarian alam sekitar merupakan amalan harian di sekolah, pihak kami bukan menyertai untuk mendapat nama dan menang, tetapi ingin menunjukkan contoh bahawa ia merupakan satu budaya yang patut diterapkan.

“Di sekolah, setiap ruangan kelas diwajibkan mempunyai satu taman khas, jadi jika ada pelawat yang memasuki mana-mana kelas, pastinya akan disambut dengan kehijauan.

“Kemenangan ini juga merupakan kerjasama antara para guru dan pelajar jadi saya yakin konsep dan inisiatif ‘Satu Kelas, Satu Taman’ telah menjadi tunjang utama kejayaan ini,” katanya sambil menyatakan hasrat sekolahnya untuk mempertahankan gelaran tersebut pada masa akan datang.

e3b3fc79 cb61 4968 afca dbf49c5f916fBegitu juga Meng Yim yang menyatakan bahawa SJK(C) Union sememangnya berdedikasi dalam memastikan kelestarian alam sekitar diterapkan sebagai salah satu nilai murni di sekolah.

“Pihak sekolah telah menyertai pertandingan ini beberapa kali dan kemenangan kali kedua ini telah membuktikan bahawa komitmen warga sekolah yang tidak berbelah bahagi.

“Justeru, kejayaan hari ini milik para guru dan pelajar serta kakitangan yang telah bertungkus-lumus serta bekerjasama untuk menjadikan kemenangan ini satu realiti,” jelasnya. 

Difahamkan, sebanyak 53 sekolah di bahagian pulau dan 43 di bahagian Seberang menyertai penganjuran kali ini.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SIEW CHIA EN