SMKDHMNA, SK Bayan Baru johan Anugerah Sekolah Hijau 2023

GEORGE TOWN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Mohamed Nor Ahmad dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bayan Baru muncul sebagai johan bagi Anugerah Sekolah Hijau 2023.

Kemenangan tersebut melayakkan sekolah berkenaan membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM2,000 berserta sijil penyertaan.

DUA buah sekolah yang berjaya menjuarai Anugerah Sekolah Hijau 2023.

 

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran ketika berucap menzahirkan ucapan tahniah kepada keseluruhan pentadbiran sekolah yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

“Anugerah Sekolah Hijau yang dianjurkan oleh Penang Green Council (PGC) dengan kerjasama MBPP merupakan salah satu inisiatif untuk menggalakkan pengurusan alam sekitar secara menyeluruh.

“Salah satu tujuan program sebegini diadakan sudah tentu adalah untuk mendidik para pelajar tentang kepentingan menjaga alam sekitar supaya mereka dapat menerapkan sikap ini dalam diri seterusnya kehidupan seharian.

“Masa depan kita juga bergantung kepada generasi muda seperti mereka, oleh itu penting untuk mengajar anak-anak kita tentang aspek kepentingan alam sekitar sejak dari bangku sekolah lagi,” ujarnya pada majlis penganugerahan berkaitan bertempat di Dewan Bandaran dekat sini pada 15 November 2023.

Hadir sama, barisan Ahli Majlis bagi MBPP; Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; Pengurus Besar PGC, Josephine Tan Mei Ling serta ketua-ketua jabatan dan wakil berkaitan.

IR. A. Rajendran semasa sesi sidang media yang diadakan baru-baru ini.

Dalam sesi yang sama, Rajendran turut menegaskan bahawakadar kitar semula di negeri ini masih perlu ditambah baik darisemasa ke semasa.

“Sebanyak RM60 juta telah dibelanjakan untuk kos pembersihan setiap tahun, ia merupakan jumlah perbelanjaan yang sangat besar dan boleh dikurangkan jika semua pihak bekerjasama dalam menjaga kebersihan alam sekitar di negeri ini.

“Masalah pencemaran seperti pencemaran sungai, pembakaran terbuka dan pembuangan plastik juga masih lagi dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan Pulau Pinang masih jauh untuk menjadi sebuah bandar yang mampan.

“Banyak negara telah mengambil masa beberapa dekad untuk mencapai hasil optimum dalam memelihara alam sekitar, saya percaya Pulau Pinang juga boleh mencapainya selaras Visi Penang2030 ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” jelasnya.

Difahamkan, sebanyak 52 buah sekolah mengambil bahagian yang mana 11 daripadanya merupakan sekolah menengah manakala sekolah rendah (41).

Daripada jumlah itu, hanya lima buah sekolah sahaja telah dipilih sebagai pemenang untuk kategori yang berbeza serta memenangi hadiah wang tunai berserta sijil.

Senarai pemenang Anugerah Sekolah Hijau 2023 adalah seperti berikut:-

Kategori SK : SK Bayan Baru (johan) & SK Sungai Rusa (naib johan)

Kategori SMK : SMK Datuk Haji Mohamed Nor Ahmad (johan) & SMK Padang Polo (naib johan)

Pemenang mengikut kategori:-

Kecekapan sumber asli : SK Padang Tembak & SMK Padang Polo

Inovasi dan kreativiti : SJKT Subramaniam Barathee & SMKA (P) Al-Mashoor

Kebersihan dan penghijauan : SJKC Khong Min Caw. 2 & SMK (P) Methodist

Penglibatan digital/komuniti : SJKC Union & SMK Datuk Haji Mohamed Nor Ahmad

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SIEW CHIA EN