Soal kewarganegaraan bidang kuasa Pusat, bukan negeri – Ketua Menteri

Admin
c00bdb90 694d 4043 a1ea e2f2128d034a KETUA Menteri (dua dari kanan) dalam Majlis Makan Durian Bersama-sama Pengamal Media di Dewan Belia Lebuh Acheh di sini pada 12 Jun 2024.

GEORGE TOWN – Unit Kewarganegara atau Bahagian Kewarganegaraan Pulau Pinang (BKPP) yang berpengkalan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kerakyatan kepada mana-mana pemohon, sebaliknya hanya membantu pemohon mengisi borang-borang permohonan berwajib.

3fa9fbb4 8e48 483b 94f3 b0a37ef04159
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian dalam Majlis Makan Durian Bersama-sama Pengamal Media di Dewan Belia Lebuh Acheh di sini pada 12 Jun 2024.

“Kerajaan Negeri tidak ada kuasa meluluskan permohonan kerakyatan, kerana ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Anggota Unit Kewarganegaraan ini berperanan melaksanakan tugas-tugas penyeliaan seperti membantu pemohon mengisi atau melengkapkan borang-borang berkaitan sahaja seperti yang diperlukan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk proses selanjutnya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Turut serta, Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri, Mohd. Balkish Othman; Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee dan beberapa pegawai berkaitan.

Dalam sidang media berasingan sebelum itu, Penyelia Program Kewarganegaraan Pulau Pinang, Yeap Choon Keong menyatakan bahawa Program Kewarganegaraan Pulau Pinang adalah tertakluk di bawah bidang kuasa KDN.

Menurut beliau, BKPP merupakan unit selia program berkenaan, tidak pernah mengeluarkan atau memberi kad pengenalan kepada pemohon.

“Antara masalah yang sering dihadapi oleh pemohon adalah daftar lewat kelahiran, daftar lewat kad pengenalan, permohonan kewarganegaraan Malaysia, permohonan MyPR (Kad Pengenalan Kanak-Kanak 12 Tahun atau Kali Pertama Bukan Warganegara), MyKAS (Kad Pengenalan Pemastautin Sementara) dan lain-lain permohonan berkaitan dengan status kerakyatan Malaysia,” jelasnya pada sidang media sebelum ini

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD