Sokong inisiatif NTIC, bantu pacu pertumbuhan ekosistem industri

whatsapp image 2024 08 19 at 16.13.05

GEORGE TOWN – Tiga syarikat elektrik dan elektronik (E&E) yang terlibat aktif dalam program di bawah Pusat Inovasi Teknologi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) atau NCER Technology Innovation Centre (NTIC) di negeri ini, hari ini menerima sijil apresiasi daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Wakil dari syarikat Western Digital, Estek Automation dan Aemulus masing-masing menerima sijil apresiasi daripada Ketua Pegawai Operasi NCIA, Hasri Hasan dalam majlis yang diadakan di Komtar sambil disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Rosli Isa dan Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan.

Pada majlis tersebut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap usaha untuk memperluas program di bawah NTIC di negeri ini.

Beliau yakin bahawa program NTIC akan memberi sumbangan penting dalam memacu pembangunan ekosistem inovasi dan teknologi dalam kalangan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Pulau Pinang.

“Menerusi sokongan daripada syarikat-syarikat besar, inisiatif ini juga bakal menyokong pembangunan bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan dan pertumbuhan ekosistem industri bernilai tinggi,” ujarnya pada majlis apresiasi berkaitan di sini.

whatsapp image 2024 08 19 at 16.13.03
KETUA Menteri pada majlis apresiasi berkaitan di sini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa dalam tempoh separuh pertama tahun 2024 (Q2 2024), sebanyak 16 syarikat PKS tempatan Pulau Pinang telah dimudah cara melalui geran padanan di bawah NTIC bagi meningkatkan rantaian nilai menerusi inisiatif Centre of Excellence (CoE) dan Technology and Innovation (T&I).

“Selain itu, seramai 144 pekerja tempatan juga telah lulus menjalani latihan peningkatan kemahiran teknikal di bawah inisiatif Advanced Technology Meister Programme (ATMP) NTIC ini,” katanya sambil berharap inisiatif berkaitan dapat membantu mencapai matlamat Visi Penang2030 yang digagaskan.

Menyentuh mengenai prestasi pelaburan Pulau Pinang, pada majlis tersebut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memaklumkan bahawa negeri ini berjaya merekodkan aliran masuk pelaburan berjumlah RM71.9 bilion pada tahun 2023, yang tertinggi di Malaysia.

“(Dan) ini yang menjadi penanda aras kepada Kerajaan Negeri untuk tahun ini yang mana ia (aliran masuk pelaburan) menggariskan keyakinan teguh pelabur antarabangsa dan tempatan terhadap potensi Pulau Pinang termasuk peluang-peluang yang ditawarkan.

Menerusi kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan NCIA, negeri ini berjaya merealisasikan pelaburan sebanyak RM19.6 bilion.

“(Dan) hampir 5,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang mana ia pastinya akan menyokong prestasi pelaburan keseluruhan di Pulau Pinang untuk tahun 2024,” jelasnya.

whatsapp image 2024 08 19 at 16.13.04
WESTERN Digital antara tiga syarikat E&E yang terlibat aktif dalam program di bawah NCER Technology Innovation Centre di negeri ini.

Sementara itu, Mohamad Haris menyatakan penghargaan kepada Kon Yeow dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas sokongan serta kerjasama yang diberikan dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai hab NTIC.

NTIC bermatlamat untuk memperkukuh ekosistem perindustrian serta bakat dan mewujudkan aktiviti inovatif serta meningkatkan rantaian nilai PKS di wilayah NCER.

“(Melalui) NTIC terdapat tiga inisiatif iaitu CoE, ATMP dan T&I dengan mengamalkan konsep kerjasama dengan rakan kongsi strategik dari dalam dan luar negara.

“Pada masa sama, terima kasih kepada syarikat-syarikat penyedia NTIC yang sudi bekerjasama dengan NCIA bagi memakmurkan inovasi dan teknologi.

“NCIA amat komited untuk membantu pembangunan sosioekonomi Pulau Pinang selaras dengan Visi Penang2030 dan aspirasi Ekonomi Madani,” katanya.

NTIC adalah program yang dibangunkan di bawah inisiatif NCER “Kampus Tunggal” yang menumpukan pada aktiviti yang berkaitan dengan penyelidikan, reka bentuk, teknologi, inovasi dan pengkomersilan.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD