GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk meneruskan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) demi kepentingan generasi akan datang dan masa depan pembangunan negeri.
Kenyataan tersebut disuarakan sendiri oleh Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari pada sesi pertemuan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bersama-sama wakil daripada Pertubuhan Lestari Alam Sekitar Pulau Pinang serta wakil nelayan tempatan pada 7 Oktober 2021 di Komtar.
Dalam pertemuan tersebut, Zairil menegaskan bahawa Pulau Pinang memerlukan satu kawasan ekonomi baharu merangkumi perindustrian, perumahan dan kegiatan ekonomi yang menjana peluang pekerjaan pada masa hadapan.
Bayangkan sekiranya kawasan perindustrian Bayan Lepas tidak wujud kini, maka anak-anak pada masa kini pastinya telah berhijrah keluar dari Pulau Pinang untuk mencari pekerjaan.
“Begitu jugalah projek PSR ini, yang mana Kerajaan Negeri melihat perlunya kawasan ekonomi baharu demi kelangsungan dan kepentingan masa hadapan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai status semasa projek ini, Zairil memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menfailkan semakan kehakiman selepas keputusan yang dibuat oleh Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Keputusan tersebut bukan sahaja mengakibatkan projek ini tetapi juga lain-lain projek seluruh negara kerana menggunakan alasan teknikal dan bukannya atas hujah substantif berkaitan alam sekitar.
“Semua proses perancangan serta kelulusan yang dilakukan adalah mengikut prosedur dan berdasarkan tatacara kelola kerajaan,” jelasnya.
Perkara itu turut disokong oleh Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.
“Sebagai sebuah kerajaan, sememangnya pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mematuhi segala peruntukan undang-undang.
“(Dan) kita (Kerajaan Negeri) juga tidak memulakan projek tersebut sekiranya tidak ada satu keputusan mutlak.
Jadi tuduhan yang menyatakan kita telah memulakan projek tersebut, hakikatnya tidak benar.
“Kerja-kerja awalan yang dilihat di laut itu adalah sebahagian proses bagi persediaan untuk melengkapkan laporan kepada agensi-agensi berkaitan,” ujarnya.
Terdahulu, wakil nelayan, Fajinah Jaafar menyerahkan senarai nama beserta tandatangan penduduk di kawasan selatan Pulau Pinang yang menyokong pelaksanaan projek PSR kepada Kon Yeow.
Difahamkan, daripada 1,521 tandatangan yang diperoleh, 435 daripada adalah dalam kalangan nelayan.
Dalam kenyataan media Pertubuhan Lestari Alam Sekitar Pulau Pinang menyatakan bahawa kempen mengumpul tandatangan sokongan membuktikan ramai penduduk setempat mengalu-alukan pelaksanaan projek PSR yang dilihat mampu menjana ekonomi dan mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan.
Harus ditegaskan di sini sokongan daripada 1,521 orang ini adalah secara ikhlas dan rela hati. Mereka tidak dipaksa atau dijanjikan apa-apa ganjaran.
“Andai kata semua kebaikan projek PSR ini ditolak penduduk tempatan, sudah tentu kami tidak mendapat tandatangan sokongan (dan) berharap kempen tandatangan ini membuka mata mereka yang membantah.
“Mereka memahami bahawa pelaksanaan projek PSR ini akan mendatangkan banyak kebaikan dari segi penjaan ekonomi terutama dalam keadaan penularan COVID-19,” sebagai dipetik dalam kenyataan tersebut.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : DARWINA MOHD. DAUD