GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow terharu menyaksikan Aidilfitri disambut dengan penuh meriah, toleransi dan kepelbagaian oleh masyarakat yang tidak hanya terhad kepada masyarakat beragama Islam sahaja.
Menurut beliau, penganjuran majlis sedemikian secara tidak langsung membuktikan bahawa nilai perpaduan di negeri ini semakin utuh dan kukuh.
“Penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kali ketujuh Kelab Sukan dan Rekreasi Kawan-Kawan (KSRKK) menunjukkan bahawa (kelab) ini tidak pernah melepaskan peluang serta memanfaatkan platform ini dengan baik bersama-sama masyarakat setempat.
“Sesungguhnya, Kerajaan Negeri sangat menyokong setiap kegiatan aktiviti sukan yang dapat melahirkan masyarakat yang sihat dan cerdas dalam usaha pembangunan sosial.
“Buktinya, Kejohanan Bola Sepak 9-Sebelah Piala ❤️ PENANG buat julung kalinya dekat Padang Polo telah mendapat sambutan yang sangat baik.
“(Dan) penganjuran kejohanan sedemikian mampu menjadi medan buat mencungkil bakat serta melatih anak-anak tempatan untuk lebih berdaya saing dalam arena bola sepak tempatan,” ujarnya semasa sesi ucaptama semasa majlis berkaitan di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran dan Ahli-ahli Majlis MBPP serta Timbalan Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Kawan-kawan (KSRKK), Mohamed Irfan Sikkandar Shah.
Tambah Kon Yeow, kegiatan sukan dan rekreasi juga membolehkan golongan muda mengisi jawatan penting dalam ekonomi, sosial, keagamaan, kemasyarakatan serta politik sekali gus berupaya membangunkan negara kita.
“Justeru, saya percaya KSRKK mempunyai barisan pimpinan yang mantap untuk meneroka potensi (golongan muda) melalui Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam meningkatkan kemahiran set mereka.
“Secara tidak langsung, mereka boleh menjadi contoh teladan yang baik dengan pimpinan KSRKK dengan adaptasi ajaran agama, nilai-nilai murni, pematuhan undang-undang, tanggungjawab sosial, semangat toleransi dan perjuangan.
“Oleh itu, diharapkan anak-anak yang masih lagi di bangku sekolah berupaya memperoleh kecemerlangan dalam pendidikan, mengasah kemampuan diri dan juga berupaya menyahut cabaran jika menghadapi sebarang kesulitan dalam kerjaya kelak,” ulasnya yang merupakan Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.
Dalam majlis sama, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis berkenaan.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT