BAGAN JERMAL – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya bersama Kerajaan Negeri di Arena Butterworth dekat sini yang mencerminkan kepimpinan prihatin serta dekat dengan rakyat jelata.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dalam tempoh berbaki pentadbiran bagi penggal Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ke-15 ini, beliau berharap beberapa projek besar negeri dapat berjalan lancar dan direalisasikan kelak.
“Projek Silicon Island di selatan pulau Pulau Pinang, tahap pencapaian adalah lebih 100 ekar dan tanah-tanah tersebut akan mula dijual pada hujung tahun ini untuk tujuan industri; Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, kerangkanya telah mula kelihatan di beberapa lokasi sekitar kawasan pulau negeri; Projek Lebuhraya Bertingkat Juru – Sungai Dua akan dilaksanakan dalam suku keempat tahun ini, dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2030; Pakej 1 – Laluan Berkembar Pesisir Pantai Utara (NCPR) dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang dijangka mula pada tahun depan dan kini, kita sedang menunggu status serta berita baik Projek Air Perak – Pulau Pinang yang akan menambah baik pembekalan air di daerat Seberang Perai Selatan (SPS).
“Setelah 10 tahun kita perjuangkan, ada banyak projek diluluskan dalam tempoh saya sebag Ketua Menteri, justeru saya perlu pastikan pada baki penggal perkhidmatan saya, projek-projek besar negeri ini perlu berjalan lancar dan direalisasikan.
“Pastinya, perjuangan memerlukan sokongan padu daripada seluruh rakyat Pulau Pinang untuk terus memberi kepercayaan kepada kita dan juga Kerajaan Perpaduan kini,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Selain itu, Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya akan mengambil langkah proaktif yang selari dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendepani situasi ekonomi global susulan kadar tarif yang dikenakan oleh pemerintahan Amerika Syarikat pada 9 April 2025.
“Selari dengan usaha Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri juga mengambil tindakan proaktif dan relevan dalam berhadapan dengan situasi berkenaan.
“Kedudukan Pulau Pinang yang sekali lagi menjadi penyumbang eksport utama dalam negara pada Februari 2025 dengan nilai RM9.3 bilion dikhuatiri akan menerima impak yang serius susulan pelaksanaan tarif ini.
“Dengan ini, satu perbincangan meja bulat bersama-sama pihak industri, akademik serta barisan kepimpinan negeri akan diadakan pada esok (Jumaat) hasil inisiatif dan anjuran khas daripada pejabat saya sendiri di bawah portfolio MMK Ekonomi,” ujranya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Law Choo Kiang serta isteri, Datin Seri Teoh Hooi Tuang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid serta isteri, Datin Noraini Abd. Jalil dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zulkifli Long serta isteri, Datin Faziah Johari antara barisan pemimpin utama Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis keramaian tersebut.
Difahamkan, sejumlah 15 gerai makanan dengan lebih daripada 20 hidangan tradisi disediakan sebagai menyambut para tetamu dalam kalangan barisan Exco Kerajaan Negeri, wakil rakyat, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan dan komuniti setempat.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS