Sokongan pelbagai pihak realisasikan program kebajikan demi komuniti setempat

Admin

PULAU TIKUS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Liga Muslim Pulau Pinang ekoran penglibatan dan penyertaan pihak berkaitan dalam menyokong aspirasi Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.


Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Penyampaian Sumbangan dan Majlis Berbuka Puasa Anjuran Liga Muslim Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama-sama isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor.

 

Menurut Kon Yeow, dengan sokongan pelbagai pihak terutama badan-badan korporat, pelbagai program berasaskan kebajikan dapat dianjurkan untuk komuniti setempat.

 

“Saya juga telah dimaklumkan oleh Presiden Liga Muslim (Pulau Pinang) bahawa pelbagai program bantuan raya dan (program) kebajikan telah dianjurkan pihaknya setiap tahun bagi membantu meringankan beban mereka yang memerlukan terutamanya golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.

“Tahniah diucapkan, dan Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan perlu.

 

“Dalam pada itu, semoga kerjasama serta kolaborasi ini akan terus disuburkan dengan semangat kebersamaan, sekaligus mengukuhkan lagi entiti badan ini dan kita semua sebagai sebuah pasukan,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada majlis berkaitan.

 

Hadir sama, Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader; Timbalan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang; Datuk Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed; Ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang dan wakil-wakil syarikat korporat.

Mengulas lanjut Kon Yeow memberitahu bahawa Pulau Pinang sememangnya dikenali sebagai sebuah negeri yang memiliki kepelbagaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dan lantang bersuara.

“Walaupun ada kalanya berbeza pendapat dan pendirian, tetapi kita sentiasa menghargai perbezaan ini serta memberi keutamaan dalam memastikan hak dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi agenda penting dalam pembangunan negeri kita.

 

“Semoga gerak kerja amal ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan lagi pada masa-masa akan datang,” serunya.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : ALISSALA THIAN