Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB & NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Sokongan terhadap Kerajaan Negeri perlu terus diperkukuh supaya rakyat kian menikmati keuntungan melalui Program-Program Sumbangan Emas mulai tahun depan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan yang diadakan peringkat Daerah Timur Timur Laut (DTL) baru-baru ini.
Seramai 280 waris warga emas meninggal dunia dan 623 pelajar yang layak masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) masing-masing menerima RM1,000.
“Dulu, kita tahu dia (Barisan Nasional) menentang (program) warga emas, dia cakap (RM100 sumbangan setiap tahun) itu haram.
“Semua ini akan hilang sekiranya BN (Barisan Nasional) berkuasa semula di Pulau Pinang,” ujar beliau di Komtar, di sini.
Sejak Mac 2008, iaitu semasa Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru ditubuhkan, pentadbiran Guan Eng telah memperkenalkan beberapa Program Sumbangan Emas secara berperingkat.
Warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) masing-masing menerima RM100 tiap-tiap tahun.
Manakala, anak baru lahir menerima RM200 bermula tahun ini berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM100 sahaja.
Pelajar tahun Satu dan Empat serta Pelajar tingkatan Satu dan Empat yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri turut menerima RM100 secara ‘one-off’.
Selain Daerah Timur Laut, turut disumbangkan adalah 156 waris warga emas yang meninggal dunia dan 248 pelajar layak memasuki IPTA bagi Daerah Barat Daya. Peringkat Seberang Perai Utrara (SPU) adalah membabitkan 582 pelajar manakala Seberang Perai Tengah (SPT), 611.