Solok Cina – realisasikan impian saintis muda

Admin

GEORGE TOWN – Keresahan berhubung isu global alam sekitar yang bagaikan tiada penghujung menjadi penyuntik ilham pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Peranika Enzri untuk mempraktikkan penggunaan tumbuhan sebagai bahan penyerap tumpahan minyak di lautan.

Hasil kajian makmal yang dijalankan dalam tempoh setahun setengah membuahkan hasil apabila bahan ujikaji berkenaan memperoleh pengiktirafan badan antarabangsa bersempena pertandingan ‘Intel International Science & Engineering Fair 2010’ yang berlangsung pada 9 hingga 15 Mei 2010 di San Jose, California, Amerika Syarikat.

Sambil ditemani guru penasihat, Fatini Md. Ali, Peranika menyatakan bahawa pembabitan beliau di dalam projek tersebut adalah ekoran minat yang mendalam di dalam bidang kimia.

Pada peringkat permulaan iaitu bermula April 2008, ujikaji ini dijalankan oleh dua pelajar ‘senior’. Ekoran minat mendalam, Cikgu Fatini telah mempelawa saya untuk turut serta di dalam projek yang menggunakan tumbuhan Cattail atau nama saintifik Typha Sp. dengan panggilan tempatan, Solok Cina untuk dijadikan sebagai bahan penyerap tumpahan minyak di lautan,’’ katanya yang berasal dari Air Itam kepada SUARA CAT di sini baru-baru ini.

Bercerita mengenai kemenangan di San Jose, Peranika yang merupakan anak kedua dari lima beradik menjelaskan bahawa pengiktirafan tersebut menambahkan lagi semangat beliau untuk mendalami bidang kimia.

Kemenangan ini adalah hasil didikan guru-guru dan rakan-rakan. Kakak saya merupakan seorang akauntan, justeru, adalah menjadi cita-cita saya untuk menjadi saintis pertama di dalam keluarga,’’ katanya yang ingin melanjutkan pelajaran di dalam bidang kejuruteraan kimia.

Sementara itu, Fatini, 40, berkata, ilham penggunaan Solok Cina sebagai bahan penyerap asli tumpahan minyak adalah hasil pemerhatian beliau terhadap tumbuhan berkenaan yang ditanam di kediamannya di Balik Pulau.

Sebelum ini, terdapat banyak ujikaji penggunaan kekabu dan tanah gambut dalam usaha mengatasi krisis tumpahan minyak. Namun, disebabkan tempoh tuaian kekabu yang agak lama, saya pasti ada penyelesaian yang boleh dilakukan menggunakan tumbuhan asli tempatan.

Apabila ternampak Solok Cina yang ditanam sebagai perhiasan di kediaman saya memberikan respon positif terhadap kadar penyerapan minyak, saya terus menjalankan ujikaji terhadapnya,’’ jelas beliau yang bakal menambahbaiki projek terbabit dari semasa ke semasa.

Mengulas mengenai anguerah diterima, Fatini memberitahu bahawa, pengiktirafan sebagai pemenang kategori ‘The US Guard Recreational Boating Safety Award’ – Honorable Mention’ merupakan anugerah antarabangsa pertama diterima MRSM Balik Pulau sejak penubuhannya pada tahun 1973.

Lazimnya, anugerah ini merupakan penyuntik motovasi saya untuk terus membuat kajian di dalam bidang kimia,’’ kata beliau yang turut berterima kasih kepada pihak Intel Malaysia Sdn. Bhd. atas inisiatif penajaan projek tersebut ke pertandingan di San Jose.

Sebelum memenangi anugerah berprestij ini, projek tersebut turut memenangi pelbagai pengiktirafan di dalam pertandingan Tunas Saintis SeMalaysia – Peringkat Kebangsaan Ke – XVIII yang berlangsung pada 4 hingga 8 Oktober 2009 dan Malaysia International Technology Expo 2010, 4 – 6 Februari 2010, PWTC.