SOP dipatuhi, COVID-19 kekal diperangi

Admin

SUDAH seminggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan sejak 12 Mei lalu.

Wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar ALVIE CHENG CHIN WEI berkesempatan menemu bual beberapa penjual di Pasar Jalan Perak dan mendapatkan respons mereka mengenai pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika perniagaan beroperasi.

V. Kiruttinan

Bagi V. KIRUTTINAN, 51, beliau merasakan pelaksanaan SOP di setiap gerai adalah wajib untuk mengelakkan sebarang kontak rapat antara pelanggan.

“Saya akan memastikan pelanggan yang datang memakai pelitup muka, beratur mengikut penjarakan sosial yang telah ditetapkan dan menulis butiran di buku yang telah saya sediakan, barulah saya akan mengambil pesanan.

“Selain itu, pelaksanaan SOP seperti ini amat wajar kerana para peniaga boleh beroperasi dengan mudah, dalam masa yang sama para pelanggan juga sudah tahu untuk membuat apa sejurus sampai di setiap gerai,” ujar penjual roti bermotor itu.

Ooi Siew Tin

OOI SIEW TIN, 66, pula memuji keputusan pihak kerajaan melaksanakan PKP 3.0 dan berpendapat bahawa ia juga tanggungjawab para peniaga untuk memastikan SOP terus diikuti.

“Banyak usaha yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa untuk memastikan SOP dipatuhi, akan tetapi ia akan menjadi sia-sia jika kita sendiri enggan mengaplikasikannya dalam kehidupan.

“Tiada jalan pintas untuk kita memerangi COVID-19 ini, jadi kita perlu terus berjuang untuk menurunkan angka kes positif, walaupun berniaga merupakan sumber kami mencari rezeki, kesihatan dan keselamatan lebih utama,” jelas beliau yang juga penjual biskut di pasar tersebut.

Goh Ewe Choe

Di samping itu, bagi GOH EWE CHOE yang merupakan penjual makanan ringan, berpendapat bahawa penularan wabak COVID-19 memberi impak negatif terutamanya kepada peniaga kecil-kecilan sepertinya.

“Walaupun perniagaan kurang mendapat sambutan, peniaga-peniaga kecil tetap menjalankan perniagaan seperti biasa meskipun keletihan terutamanya di kala pandemik ini.

“Setakat ini, pengunjung yang datang kekal mematuhi SOP dan tidak timbul sebarang permasalahan,” kata beliau lagi.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALVIE CHENG CHIN WEI